‘Cinta Di Awan’ konsert solo penutup 2024 buat Siti Nurhaliza
Madiha Abdullah
Ogos 11, 2024 11:30 MYT
Ogos 11, 2024 11:30 MYT
GENTING HIGHLANDS: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memukau kira-kira 5,000 peminat dalam satu lagi konsert, kali ini bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands.
Konsert yang dinamakan Siti Nurhaliza: Cinta Di Awan itu berlangsung selama dua jam setengah dan menyaksikan Siti mempersembahkan rangkaian lebih 30 lagu hits terhebatnya.
Mengakui 2024 adalah tahun konsert, Siti menyifatkan konsert tersebut sebagai penutup yang baik bagi tahun ini, selepas dua konsert terdahulu juga mencatat sambutan luar biasa.
"Untuk konsert solo, konsert di Genting ini penutup untuk tahun ini.
"Tahun depan saya belum tahu. Kalau ada saya akan buat pengumuman seterusnya tapi yang ini memang konsert solo penutup," kata Siti ketika ditemui selepas konsert.
Mengambil tema persembahan cinta setinggi awan, antara lagu yang dinyanyikan Siti ialah Bukan Cinta Biasa, Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Kau Kekasihku dan Percayalah.
Tidak ketinggalan beberapa lagu yang jarang diketengahkan dalam mana-mana konsert sebelum ini, seperti Pada Cintanya, Janji Kasih, Bulan Yang Mesra dan Menjaga Cintamu.
Paling istimewa tentu sekali apabila Siti diiringi puteri sulungnya, Siti Aafiyah, yang bermain piano semasa mendendangkan lagu yang cukup istimewa didedikasi khas buat dua cahaya matanya, iaitu Nadi.
"Pada mulanya Aafiyah teruja apabila diajak muncul dalam konsert saya. tetapi semalam semasa sesi latihan, dia menangis.
"Malu katanya. Setengah jam juga pujuk dia," kata Siti sambil memaklumkan Aafiyah mengambil masa selama dua minggu untuk mempelajari lagu tersebut.
Turut mencuri perhatian ialah segmen lagu-lagu rock 90an, memperlihatkan Siti buat pertama kalinya mempersembahkan lagu-lagu malar segar termasuk Tak Mungkin Berpaling (Slam), Tiara (Kris) dan Hakikat Sebuah Cinta (Iklim).
Buat kali pertamanya juga, konsert Siti kali ini menggunakan khidmat Sharhan Syazwan atau Chaan sebagai Pengarah Muzik bersama Leman Band.
"Kebiasaannya saya menggunakan khidmat Aubrey Suwito, tetapi memandangkan beliau ada tugasan lain, Chaan saya rasakan pilihan paling tepat.
"Beliau pemuzik muda yang berbakat dan mempunyai gaya muzik tersendiri," kata Siti lagi.
Konsert tersebut dianjurkan oleh Resorts World Genting dan berlangsung selama dua malam.
Sebelum ini, Siti muncul dalam Konsert Fenomena Siti Nurhaliza di Singapura Jun lalu, yang menyusul konsert terbesarnya tahun ini iaitu Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, pada Mac.