Chris Rock bakal sentuh isu #OscarsSoWhite untuk monolog pembukaan

Syafique Shuib
Januari 25, 2016 18:01 MYT
Chris Rock akan tetap menjadi hos walaupun beberapa selebriti bakal memboikot acara berprestij itu pada 28 Februari.
PIHAK produksi Anugerah Akademi ke-88 sudah bersedia jika hos Chris Rock akan menyentuh tentang isu #OscarsSoWhite pada malam penganugerahan.
Menurut laporan Variety, Rock akan tetap menjadi hos dan dijangka akan menyentuh tentang kegagalan pihak Akademi untuk iktiraf pelakon dan pengarah bukan berkulit putih sebagai monolog pembukaan.
Penerbit Anugerah Akademi Reginald Hudlin berkata pihak Akademi sudah bersedia untuk Rock membuat kenyataan kontroversi.
BACA: #OscarsSoWhite: 'Oscar anugerah yang rasis' - Netizen
“Chris sedang sibuk. Beliau dan pasukan penulis beliau sedang berkurung di dalam bilik. Beliau membuang tulisan sebelum ini dan menulis skrip baharu.
"Pihak Akademi teruja beliau akan melakukannya (menyentuh tentang isu #OscarsSoWhite). Mereka tahu itu yang kami perlukan. Mereka tahu orang ramai mahukan itu, dan kami memberikan apa yang penonton mahukan," katanya lagi.
Minggu lepas Will Smith mengesahkan beliau tidak akan menghadiri acara Anugerah Akademi tahun ini.
Smith menyertai isterinya, Jada Pinkett Smith yang sebelum ini menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak penganjur.
Daripada 20 pencalonan untuk kategori lakonan, semuanya didominasi pelakon berkulit putih.
Keadaan yang sama juga terjadi dalam pencalonan kategori Pengarah Terbaik.
Anugerah Oscar akan berlangsung pada 28 Februari di Dolby Theater.
##OscarsSoWhite #Academy Awards #Anugerah Akademi #Chris Rock #Jada Pinkett Smith #Oscars #Will Smith
;