Chaleeda Gilbert anggap Malaysia rumah kedua, seronok bersama Rocketfuel

Gempak
Januari 5, 2018 10:04 MYT
Chaleeda merupakan bakat yang dicungkil menerusi YouTube dan mempunyai single dalam bahasa Thai, Ready For Love berkolaborasi dengan penyanyi rap terkemuka Thailand, Twopee. Foto Astro Gempak
PENYANYI berusia 16 tahun dari Thailand, Chaeelda Gilbert akui sudah menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya dan senang bekerja dengan Rocketfuel Entertainment.
Gadis berdarah kacukan Thailand-Inggeris itu berkata, dia tidak kisah berulang alik dari Thailand ke Malaysia demi kerjaya yang dicintainya.
“Sepanjang menjalankan promosi untuk lagu Mind Over Matter di Malaysia, saya tidak pernah berasa asing, malah seronok dengan sambutan orang di sini.
“Saya sendiri tidak menyangka akan diterima oleh peminat-peminat di Malaysia,” katanya yang memulakan langkah menerusi single ciptaan penyanyi rap, SonaOne itu.
Ketika ditanya mengapa Rocketfuel menjadi pilihannya, Chaleeda memberitahu syarikat tersebut memahami hala tujunya dalam muzik.
“Sebelum Rocketfuel ada beberapa syarikat rakaman memberi tawaran kepada saya, tetapi semuanya tidak menarik minat saya.
“Namun dengan Rocketfuel sebaik sahaja mereka buat tawaran saya tidak tunggu lama untuk jawab “ya” kerana mereka memberi saya kebebasan untuk meneroka bakat dan muzik saya sendiri,” katanya kepada Astro Gempak.
Chaleeda merupakan bakat yang dicungkil menerusi YouTube dan mempunyai single dalam bahasa Thai, Ready For Love berkolaborasi dengan penyanyi rap terkemuka Thailand, Twopee.
Selepas pelancarannya oleh Rocketfuel pada pertengahan Ogos tahun lalu, klip video single tersebut telah ditonton hampir tiga juta kali di YouTube.
#Chaeelda Gilbert #Malaysia #penyanyi #Rocketfuel Entertainment #rumah kedua #SonaOne #Thailand #YouTube
;