Cha Eun-Woo nyanyi lagu Melayu, kejutan buat AROHA Malaysia!
Isabelle Leong
Oktober 28, 2019 14:56 MYT
Oktober 28, 2019 14:56 MYT
Anggota kumpulan K-Pop Korea Selatan, Cha Eun-Woo tampil dengan kejutan pada sesi bertemu dengan peminat Malaysia pada Sabtu sempena siri jelajah 2019 CHA EUN-WOO 1st Fan Meeting Tour [JUST ONE 10 MINUTE] in KUALA LUMPUR.
Eun-Woo yang juga dikenali sebagai 'Face Genius' (lelaki yang sungguh tampan) pastinya tidak mengecewakan 1,900 AROHA (nama fandom ASTRO) yang hadir apabila mendendangkan lagu Bahasa Malaysia iaitu ‘Sampai Ke Hari Tua’ oleh Aizat Amdan.
Sejurus mendengar lagu tersebut dinyanyikan, AROHA Malaysia memberikan tepukan dan sorakan gemuruh kepada idola kegemaran mereka.
“Ia merupakan kali pertama saya mengadakan sesi bertemu dengan peminat. Jadi saya berasa bertanggungjawab untuk memberikan kenangan yang berharga kepada anda semua.
“Saya menyediakan lagu ini kerana saya terfikirkan AROHA yang datang ke sesi ‘fan meeting’ ini. Adakah anda suka lagu ini? Adakah anda tahu lagu ini,” katanya dengan bantuan penterjemah setelah selesai menyanyikan lagu tersebut.
Dalam siri jelajahnya di Bangkok, Thailand dan Manila, Filipina sebelum ini, beliau turut menyanyikan lagu dalam bahasa Thai dan Tagalog.
Ayat seperti ‘Sayang… aku cinta padamu’ , ‘aku sayang anda’, ‘wo ai ni’ juga diluahkan sekali gus menunjukkan bahawa idola popular ini sanggup belajar bahasa yang baharu supaya lebih rapat dengan peminat tempatan.
Sebelum kejutan tersebut, Eun-Woo membuka tirai persembahan dengan lagu Remember Me yang merupakan lagu daripada drama sejarah Korea, Rookie Historian Goo Hae Ryung.
Eun-Woo membintangi watak ‘Putera Yi Rim’ dalam drama tersebut tampil dengan mengenakan pakaian tradisional Korea, ‘hanbok’.
Rata-rata AROHA terpegun dengan persembahannya dan memberikan tepukan gemuruh sejurus beliau selesai mendendangkan lagu itu,
Beliau juga memainkan piano sambil menyanyikan ‘cover’ lagu Bahasa Inggeris Justin Bieber iaitu Love Yourself dalam tempo yang berbeza yang sememangnya menaikkan mood para hadirin di Dewan Wawasan, Menara PGRM.
Pastinya Eun-Woo tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan peminatnya melalui sesi soal jawab dan permainan yang dikendalikan oleh pengacara radio goXUAN, Jacky.
Sebelum berpisah dengan AROHA, Eun-Woo mempersembahkan dua lagi lagu iaitu Rainbow Falling dari drama My ID Is Gangnam Beauty dan juga You & Me.
“Saya tahu bahawa terdapat kesilapan tetapi saya akan memperbaiki diri saya dan saya akan kembali dengan semua anggota ASTRO. Saya berjanji,” katanya sebelum berpisah dengan peminatnya.
Pengakhiran sesi bertemu peminat tersebut juga menandakan berakhirnya siri jelajah berkenaan.
Siri jelajah 2019 CHA EUN-WOO 1st Fan Meeting Tour [JUST ONE 10 MINUTE] in KUALA LUMPUR melibatkan empat lokasi yang lain iaitu Hong Kong, Taipei, Bangkok dan Manila.
Adakah AROHA ternanti-nantikan kehadiran Eun-Woo bersama-sama anggota ASTRO yang lain (JinJin, MJ, Cha Eunwoo, Moonbin, Rocky and Sanha) di Malaysia pada masa depan?
Kongsikan keterujaan anda di ruang komen di bawah!