Cerita wanita Malaysia ke Busan
Astro Awani
September 11, 2013 09:00 MYT
September 11, 2013 09:00 MYT
Ikal Mayang, sebuah antologi filem pendek yang menampilkan kisah wanita Malaysia bakal ditayangkan ke layar antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Busan yang ke-18 (BIFF 2013).
Ikal Mayang merupakan salah satu daripada 56 filem antarabangsa yang terpilih untuk dipersembahkan dalam segmen ‘A Window On Asian Cinema’. Segmen ini memperkenalkan hasil kerja terbaru dan asli oleh pembikin filem dari Asia yang berbakat menerusi pelbagai gaya dan pandangan yang berbeza.
Antologi Ikal Mayang ‘Telling Women Stories’ menampilkan 6 filem pendek yang terpilih untuk mewakili pengarah-pengarah wanita dari Malaysia yang baru pertama kali mengarah seperti JERAT SUAMI oleh Dira Abu Zahar, 1-800-BABY oleh Sofia Jane Hisham, PANTANG oleh Vanidah Imran, ODAH oleh Junaidah M. Nor, BERAT SEBELAH oleh Melissa Saila dan SHE oleh Ida Nerina.
“Marilah kita bersama-sama meningkatkan suara wanita di dunia ini dan memastikan segala impian, suka-duka dan aspirasi mereka didengar dan diketahui umum. Ini perlu bagi mengurangkan, dan sekaligus menghentikan stereotaip wanita di dalam media arus perdana”, ujar Low Ngai Yuen yang merupakan Presiden Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis atau lebih dikenali sebagai WOMEN:girls.
“Sebagai seorang pembikin filem, ia merupakan suatu pengiktirafan kepada hasil kerja kami apabila terpilih untuk menyertai festival filem ini walaupun kami hanya beraksi disebalik tabir sahaja,” tambah Lee Su May, Penerbit Eksekutif Ikal Mayang dan pengasas Garang Pictures. “Bekerja di bawah jadual yang ketat untuk menghasilkan kesemua filem-filem pendek bersama semua pengarah yang berbakat merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga. Saya amat berbangga kerana 6 daripada 15 filem pendek Ikal Mayang akan dikongsikan bersama penonton di Busan nanti.”
Perjalanan IKAL MAYANG bermula apabila seramai 800 orang bersama-sama meraikan Hari Wanita Sedunia 2013 dengan menghadiri tayangan Ikal Mayang – gabungan filem-filem pendek yang mengetengahkan 15 pengarah bukan tradisional wanita di Kuala Lumpur.
“Saya berasa sangat gembira dan teruja kerana kerja keras kami akhirnya membuahkan hasil walaupun barisan pengarah yang terlibat bukanlah terdiri daripada pengarah-pengarah yang sudah dikenali ramai di dalam industri,” kata Ida Nerina, Pengarah Kreatif Ikal Mayang dan pengasas Big EyEs Entertainment.
“Antologi Ikal Mayang bakal menemui ribuan penonton yang datang daripada seluruh pelosok dunia untuk acara yang penuh berprestij ini. Saya bersama-sama dengan pengarah-pengarah yang lain akan mewakili delegasi dari Malaysia untuk ‘Ikal Mayang’ semasa ketibaan karpet merah di festival filem tersebut. Saya amat bersyukur kerana rahmat yang dikurniakan oleh-NYA dan ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat dari WOMEN:girls dan Garang Pictures kerana menjadikan mimpi ini satu realiti.”
Ikal Mayang merupakan sebuah inisiatif WOMEN:girls yang diterbitkan oleh Garang Pictures dan Big Eyes Entertainment. Dibintangi seramai 105 orang pelakon, penggambaran Ikal Mayang mengambil masa selama 32 hari dengan 40 orang krew di sebalik tabir. Filem-filem pendek ini diarah dan ditulis oleh 15 personaliti wanita terkenal yang terdiri daripada pelbagai generasi berbeza seperti Ida Nerina, Sofia Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Elaine Daly, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Aida Fitri, Carmen Soo, Shamaine Othman , Junad Md Nor, Dira Abu Zahar, Melissa Saila dan Susan Lankester. Selain itu, terdapat juga di antara filem-filem pendek ini yang ditulis oleh Fay Khoo, Soefira Jaafar, Nik Jassmin Hew, Christina Orow dan Rachael Malai Ali.
Para penerbit Ikal Mayang memilih untuk menggunakan cara tradisional iaitu melalui penceritaan bagi menyambut Hari Wanita Sedunia pada tahun ini yang bertemakan "Agenda Jantina : Menjana Momentum".
Ikal Mayang merupakan istilah bahasa Malaysia yang digunakan untuk menerangkan rambut wanita Malaysia sejak berkurun lamanya. Istilah ini juga berkait rapat dengan kehidupan wanita di Malaysia yang digambarkan melalui pepatah Melayu, “rambut sama hitam hati lain-lain.”