Celine Dion menanti masa untuk kembali beraksi

Agensi
Mac 17, 2024 09:00 MYT
Celine Dion kongsi gambarnya bersama tiga anaknya dalam Instagram peribadinya.
BINTANG mega pop dunia, Celine Dion yang mengalami gangguan saraf iaitu sesuatu yang jarang berlaku berkongsi hasrat dan keinginannya untuk menghiburkan peminat-peminatnya.
Dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya, Dion menulis dia menanti saat untuk kembali ke pentas pertunjukan.
Dion, 55, pertama kali mendedahkan pada Disember 2022 bahawa dia telah didiagnosis dengan Stiff Person Syndrome (SPS) yang menyebabkan otot kaku pada tubuh, lengan dan kaki dengan bunyi bising atau tekanan emosi yang diketahui mencetuskan kekejangan.
"Cuba untuk mengatasi gangguan ini adalah salah satu pengalaman paling sukar dalam hidup saya, tetapi saya tetap berazam untuk suatu hari nanti kembali ke pentas dan menjalani kehidupan seperti biasa yang mungkin," kata Dion dalam catatan lewat Jumaat kepada menandakan Hari Kesedaran SPS Antarabangsa.
"Saya ingin mengirim dorongan dan sokongan saya kepada semua orang di seluruh dunia yang telah terjejas oleh SPS. Saya mahu anda tahu anda boleh melakukannya! Kami boleh melakukannya!" tambah penyanyi yang pernah meraih anugerah Grammy menerusi lagu-lagu popularnya, My Heart Will Go On dan Because You Loved Me.
"Saya amat berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan daripada anak-anak saya, keluarga, pasukan dan anda semua!" tambahnya dalam catatan itu, disertakan dengan fotonya tersenyum lebar dan bergambar bersama tiga anak lelakinya.
Tiada ubat untuk Sindrom Orang Kaku, yang progresif, tetapi rawatan boleh membantu mengawal gejala.
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan AS, SPS menjejaskan dua kali ganda lebih ramai wanita berbanding lelaki.
Pada Mei tahun lalu, Dion terpaksa membatalkan beberapa rancangan yang dijadualkan pada 2023 dan 2024 kerana tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan konsert jelajah.
Kali terakhir Dion dilihat di khalayak ramai ialah di Anugerah Grammy pada Februari, apabila dia membuat penampilan mengejut untuk menyampaikan anugerah Album Terbaik kepada Taylor Swift.
Pada Januari lalu, Dion mengumumkan dia akan terlibat dalam penerbitan dokumentari panjang untuk disiarkan secara penstriman di Amazon Prime Video untuk membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai SPS.
Sepanjang kerjaya seninya, Dion telah melakar rekod jualan album melebihi 250 juta unit selama beberapa dekad.
Siri konsert jelajah penghibur kelahiran Quebec, Kanada itu bermula pada 2019 dan Dion telah menyelesaikan 52 pertunjukan sebelum wabak COVID-19 menyerang seluruh dunia menyebabkan persembahan di lokasi-lokasi lain dihentikan. - Agensi
#Celine Dion #Celine Dion sakit SPS #Stiff Person Syndrome #konsert jelajah Celine Dion
;