Celine Dion hidap gangguan saraf, batal lapan konsert musim panas

Agensi
Disember 8, 2022 21:49 MYT
Celine Dion mendedahkan menghidap Stiff Person Syndrome (SPS), yang menyebabkan ototnya tidak dapat dikawal. - Gambar/ FB Cline Dion
PENYANYI terkemuka, Celine Dion disahkan menghidap sejenis penyakit yang tidak dapat diubati.
Dalam satu kemas kini di Instagram, bintang berusia 54 tahun itu mendedahkan dia menghidap Stiff Person Syndrome (SPS), yang menyebabkan ototnya tidak dapat dikawal.
Ia boleh menyebabkan pesakit tidak boleh berjalan atau bercakap.
“Saya sudah lama berhadapan dengan masalah kesihatan dan memang sukar bagi saya untuk bercakap tentang semua yang saya lalui.
"Baru-baru ini saya telah didiagnosis dengan gangguan neurologi yang sangat jarang berlaku, dipanggil Stiff Person Syndrome.
“Kekejangan ini menjejaskan setiap aspek kehidupan seharian saya, kadangkala menyebabkan kesukaran berjalan dan tidak membenarkan saya menggunakan pita suara untuk menyanyi seperti biasa.
"Saya bekerja keras dengan pasukan perubatan saya setiap hari untuk membina kekuatan dan keupayaan saya untuk beraksi semula tetapi saya harus akui ia tidak mudah.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kasih sayang serta sokongan anda.
"Saya sangat menyayangi anda semua dan saya sangat berharap dapat berjumpa dengan anda semula tidak lama lagi," katanya di Instagramnya.
Dion pertama kali mencetuskan kebimbangan tentang kesihatannya pada awal tahun ini apabila dia membatalkan jelajah Amerika Utara dari 9 Mac hingga 22 April.
Penyanyi itu juga menjadualkan semula konsert musim bunga 2023 kepada 2024 dan membatalkan lapan konsert musim panas 2023.
#Celine Dion #Stiff Person Syndrome #batal konsert #masalah kesihatan
;