Catriona Ross pinjam semangat arwah ibu
Azyyati Ahmad
Februari 14, 2013 16:02 MYT
Februari 14, 2013 16:02 MYT
Awal pagi semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian ibu aktres Catriona Ross, Siti Zawiyah Abd Rahman, 63, yang merupakan antara tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan bas ekspres di Km 61.8 Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Gerik, Perak.
Kami di Astro Awani berkesempatan menemubual Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, untuk bertanyakan keadaan beliau apabila menerima berita ini.
“Saya merasa sangat terkejut dengan berita ini kerana ibu pergi secara tiba-tiba dan saya terasa sangat kehilangan”.
Catriona juga menyifatkan yang arwah ibunya adalah orang yang kuat semangat dan tabah.
“Semasa saya terlibat dalam kemalangan dulu, arwah ibulah yang selalu mahukan saya sentiasa berdoa dan saya meminjam semangat ibu untuk terus kuat” katanya lagi.
Menurut Catriona, dia menerima panggilan telefon mengenai berita kemalangan itu pada pukul empat pagi dan jenazah Allahyarham telah dikebumikan pada petang semalam selepas Asar di Kota Bharu.
Catriona juga turut berkongsi mengenai pesanan terakhir arwah ibu kepadanya kira-kira dua minggu lepas.
“Ibu mahu saya menghantar anak ke kelas Iqra’ kerana Allahyarham mahu cucunya boleh sedekahkan ayat-ayat suci al-Quran jika dia tiada nanti”
Sebelum itu, menurut laporan polis kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa cuba memotong deretan kereta dan bertembung dengan bas yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas ke dalam longkang berhampiran.
Dua lagi mangsa yang terkorban dalam kemalangan tersebut ialah Sitah Abdullah, 53, dan Norini Abdul Ghani, 43.