Catat kutipan RM4.2 juta, Kahar: Kapla High Council hangatkan kembali pawagam
Sinar Harian
Disember 2, 2024 17:51 MYT
Disember 2, 2024 17:51 MYT
FILEM Kahar: Kapla High Council nampaknya telah menghangatkan kembali pawagam tanah air sejak ditayangkan 28 November lalu.
Buktinya, dalam masa empat hari, filem arahan Razaisyam Rashid itu telah berjaya mencatat kutipan RM4.2 juta dan angka tersebut dijangka terus meningkat walaupun filem berkenaan adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas.
Filem ini bukan sekadar memaparkan babak aksi yang mendebarkan, malah mesej yang diselitkan seperti pentingnya institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang turut meninggalkan kesan kepada penonton.
Penerbit eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad turut mengucapkan terima kasih kepada penonton Kahar: Kapla High Council.
"Kami bersyukur dengan penerimaan baik filem ini. Melihat reaksi serta komen penonton selepas menonton, rata-rata berkongsi kepuasan mereka dari sudut jalan cerita, kualiti produksi dan memahami mesej yang ingin disampaikan seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang.
"Kami mengharapkan lebih ramai memberi peluang untuk menonton filem ini dan berkongsi pandangan serta pengalaman bersama kami," katanya.
Sejak Jumaat lalu, telah bermula sesi jelajah Kahar: Kapla High Council di Kedah dan Perak.
Kehadiran barisan pelakon digamatkan dengan sambutan dan sokongan padu penonton dan peminat.
Selepas ini, barisan pelakon filem tersebut iaitu Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, Khenobu, Husyairi Hussain, Hasnul Rahmatakan meneruskan sesi promosi di Negeri Sembilan pada 6 hingga 8 Disember, diikuti Johor dan Melaka; serta berakhir di Terengganu dan Pahang (13 hingga 15 Disember).
Kahar: Kapla High Council mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).
Seorang yang pendiam dan kerap menyisihkan diri, dia sering berasa tertekan kerana bapanya, Datuk Abu Yamin, meletakkan harapan begitu tinggi terhadapnya.
Keadaan semakin meruncing apabila dengan tidak sengaja, Kahar terjerumus dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar.
Kemenangan Kahar membuatkan dia leka dengan kedudukannya itu. -- Sinar Harian