Cat Farish bakal disatukan dengan Shikin Maembong
Sinar Harian
Julai 9, 2023 12:47 MYT
Julai 9, 2023 12:47 MYT
TIDAK pernah berahsia tentang kisahnya cintanya dengan Shikin Maembong, penyanyi dan komposer Cat Farish berkongsi berita gembira bakal disatukan dengan wanita pilihannya itu dalam masa terdekat.
Biarpun hubungan Cat atau nama sebenarnya, Farish Ramli, 49, dengan kakak kepada Emma Maembong itu masih lagi baharu, bapa kepada tiga anak itu enggan menangguhkan perkahwinan mereka atas faktor usia.
Difahamkan, mereka bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 13 Julai, manakala resepsi pula pada 15 Julai ini.
Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, anggota kumpulan Ruffedge itu turut berkongsi gambarnya bersama Shikin beserta anak-anak. Pada kapsyen gambar tersebut, dia menyertakan tanda pagar #menitihari #farishikin memberi bayangan tentang hari bahagia mereka yang bakal menjelang.
“Semua ini indah bila dikirimkan doa. Semua ini terjadi bila doa ibu dimakbulkan. Semua ini indah bila kita saling ingat-mengingati dan percaya. Semua ini indah bila kita ikhlas, jujur, tak sakit hati dan busuk hati.
“Insya-ALLAH kami akan bina hidup baru. Amin. Terima kasih mama, papa, ayah, anak-anak, keluarga dan sahabat,” ujarnya.
Cat sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada April 2016.
Mereka dikurniakan tiga anak, Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar, 12.
Perkahwinan kedua Cat bersama seorang pereka fesyen pada November 2020 turut berakhir dengan perpisahan pada Januari lalu.
Sementara itu, Shikin juga pernah mengalami kegagalan dalam dua perkahwinannya terdahulu termasuk bersama Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti, Datuk Chef Wan yang pada Jun 2016. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. -- Sinar Harian