Cara baharu bantu artis jana pendapatan tanpa orang tengah

Astro Awani
Jun 2, 2022 18:21 MYT
Sandy Monteiro (kanan) berkata, melalui cara lama, industri banyak menggunakan orang tengah hingga menyebabkan wujudnya kos berlebihan yang tidak perlu.
KUALA LUMPUR: Seiring peredaran zaman, pelbagai platform dicipta untuk dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat. Golongan penggiat seni atau artis juga tidak terkecuali apabila kini wujud satu platform yang boleh membantu mereka menjana pendapatan.
Terbaharu, sebuah platform artist-centric, FENIX360, menawarkan pengalaman berbeza yang khusus buat golongan artis, dengan menyediakan pengalaman ekosistem 360 darjah dan model pembayaran baharu.
Penasihat Fenix360 Malaysia, Sandy Monteiro berkata, jika mengikut cara lama, industri banyak menggunakan orang tengah hingga menyebabkan wujudnya kos berlebihan yang tidak perlu.
Begitupun, dalam platform tersebut, semuanya berbeza sekali gus memberi peluang buat artis atau pencipta dalam kategori non-superstar mendapat hasil, sama juga seperti artis popular.
“Kami tidak mengatakan kami lebih baik daripada media sosial ini, atau platform video itu, tidak. Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan penglibatan satu-dengan-satu dengan peminat mereka, itulah objektif utama.
“Dalam usaha untuk melakukan itu, kami memberikan artis semua elemen untuk mencipta kandungan yang menarik untuk berinteraksi dengan peminat mereka. Kalau anda nak ambil video itu dan naikkan ke YouTube, naikkan di YouTube.
“Nak letak di TikTok, letakkan saja di TikTok, tapi bukan kita kata mesti letakkan di sana. 'Mesti' untuk anda adalah untuk menjaga peminat anda.
“Anda 'mesti' mencipta hubungan, mencipta kandungan yang menarik, berinteraksi dengan peminat anda dan menjaga peminat anda. Itulah FENIX360. Yang lain, anda boleh tambah-tambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sidang media berkaitan platform tersebut di sini baru-baru ini.
Menerusi platform tersebut, penggiat seni dari semua cabang seni seperti pemuzik, pelakon, model, pelawak, penari dan pelukis boleh menjangkakan hasil pengiklanan sebanyak 80 peratus di platform tersebut.
Selain itu, mereka juga boleh menjana pendapatan daripada NFT, merchandise, tiket serta hasil livestream dalam ekosistem baharu itu yang dijana oleh teknologi secara blockchain.
FENIX360 kini boleh didapati di laman web, Apple iOS dan Google Play untuk telefon pintar Android.
#FENIX360 #platform #artis #jana pendapatan #YouTube #Google #Android #telefon pintar
;