Caprice, Fathia Latiff 'perang besar' di Instagram

Madiha Abdullah
Januari 21, 2018 14:39 MYT
Peminat Caprice dan Fathia mahu mereka berbaik dan lebih bertanggungjawab di atas setiap komen dan status di laman sosial.
YOU are fighting someone else's battle.
Itu pendapat netizen terhadap pergaduhan besar yang tercetus antara dua selebriti ini.
Semuanya bermula selepas pelakon Fathia Latiff didakwa melakukan provokasi ke atas Iqram, dengan meletakkan komen agar Iqram 'bunuh diri', dalam satu sesi Instagram live yang dibuat Iqram.
Fathia yang dikecam khalayak kerana komen itu, kemudiannya mengakui apa yang dilakukannya adalah satu bentuk reverse psychology dan dia tidak mempunyai niat jahat.
Namun, sebelum itu, tindakan Fathia itu mendapat kritikan penyanyi rap, Caprice, yang berpendapat adalah tidak wajar Fathia mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana isu masalah mental tidak wajar dipermainkan.
Kritikan Caprice itu tidak mendapat reaksi yang baik daripada Fathia yang kemudiannya meninggalkan komen di Instagram Caprice, tentang insiden 'kek cawan' yang pernah berlaku antara mereka.
"Just because I rejected your cupcakes you gave me last time, I'm pretty sure you're under depression as well," itu yang ditulis Fathia.
Tidak lama selepas itu, Caprice memuat naik satu lagi video menegur usahawan, Nur Sajat, yang kini menjadi tumpuan gara-gara isu jantinanya, dan ia sekali lagi menarik perhatian Fathia untuk meninggalkan komen.
Kali ini, Fathia membangkitkan isu sensitiviti dalam teguran Caprice terhadap Sajat.
Tidak senang dengan situasi itu, Caprice kemudiannya memuat naik satu entri di akaun Instagram dan membangkitkan kembali isu video Bigonya yang pernah tersebar satu ketika dahulu.
Fathia pantas memberikan reaksi terhadap entri itu dan menganggap sikap Caprice tidak membayangkan tingkah laku seorang ahli motivasi, sebaliknya 'Mak Esah jual jamu'.
Bagi netizen, apa yang berlaku antara Caprice dan Fathia itu tidak akan terjadi sekiranya mereka memiliki sifat bersedia menerima teguran dan mengakui kesalahan, selain menghormati pendapat orang lain.
Dapat dilihat di ruangan komen, peminat kedua-duanya mahu mereka berbaik dan lebih bertanggungjawab di atas setiap komen dan status yang dimuat naik di laman sosial.
Agak melucukan juga apabila ada yang mengharapkan mereka bertemu jodoh.
"Selalunya yang bergaduh ni, jodoh kuat," usik seorang pengguna Instagram, @norafarahin.
#Caprice #Fathia Latiff #Instagram #Iqram Dinzly #laman sosial
;