Cantik sampai menangis, enak teringat-ingat.. Ayda Jebat buat apa di Taiwan?
Hamzah Hamid
Januari 17, 2023 14:37 MYT
Januari 17, 2023 14:37 MYT
SELAIN kembali menghabiskan waktu kualiti bersama keluarga dan menjalani rutin tugas seperti sediakala, peluang untuk melancong adalah salah satu 'nikmat besar' apabila cengkaman pandemik tidak lagi menjadi halangan utama.
Bagi selebriti seperti Ayda Jebat, ia juga peluang untuk meneruskan karier seninya dalam gear menaik selepas lama bertahan dengan keterbatasan sekatan pergerakan beberapa tahun sebelum ini.
Lebih memberi kepuasan apabila soal kerja dan kesempatan melancong menyatu dalam satu 'misi khas' yang kini digalas penyanyi dan pelakon tersebut.
Bercerita tentang pelantikannya sebagai duta pelancongan berkonsep mesra Muslim, Salam Taiwan, pelantun lagu Pencuri Hati itu mengakui bahawa dirinya sendiri tidak menyangka pulau itu akhirnya menjadi destinasi kunjungannya.
“Orang kat Malaysia pun, bila saya muat naik di IG Story tentang destinasi ini, mereka bertanya ‘Kenapa pergi Taiwan?’. Mungkin bagi mereka, ada banyak tempat lain yang boleh dilawati,” ujarnya saat ditemui kumpulan media Malaysia di Masjid Zheng He, iaitu masjid terbesar dan tertua yang terletak di daerah Da’an, pada Disember lalu.
Ayda memberitahu, sebelum berangkat, dia sengaja tidak membuat sebarang carian maklumat di internet tentang tarikan di Taiwan kerana dia mahu melihat sendiri dengan matanya serta menikmati pengalaman itu secara ‘mengejut’.
Ternyata, Ayda cepat jatuh cinta dengan pelbagai pengalaman pertama yang istimewa.
“Ada dalam beberapa kali, bila sampai ke satu-satu tempat tarikan, saya rasa ‘wow’ dan teruja. Saya banyak juga travel ke pelbagai tempat, tapi di sini vibe yang dirasai ada perbezaannya,” ujarnya yang berulang kali menyebut tentang keindahan alam semula jadi di Taiwan.
Antara lokasi alam yang Ayda maksudkan adalah seperti pengalaman menaiki tren ke dalam kawasan hutan pain yang menenangkan dan kampung budaya Yuyupas di pergunungan Alishan, dan juga kunjungan menakjubkan ke puncak Hehuanshan yang terletak di zon Taman Negara Taroko. Landskap alam yang menghijau terbentang ternyata memenuhi pandangan dan memori Ayda.
"Hehuanshan sangat cantik... semua yang saya lihat bagaikan lukisan. Saya menangis di situ hanya dengan melihat keindahannya!," katanya yang ditemani suaminya, Nabil Mahir, dalam kunjungan itu.
Tidak kurang juga keindahan panorama di Qingjing Farm di bandar Ren'ai, Nantou yang menurut Ayda, mempesona dengan gaya santai ladang ternak dengan ribuan biri-biri 'comel'.
Tidak ketinggalan, selama hampir 10 hari menjelajah mengelilingi Taiwan, Ayda juga berasa bertuah dapat mengunjungi destinasi tarikan lain seperti Zhuo Ye Cottage di Mioli, Shifen Old Street di Jiufen, gedung mewah Taipei 101, serta lawatan ke kota kedua terbesar selepas Taipei, Taichung.
Tidak lengkap agenda berlibur kalau tidak bercakap soal gastronomi. Taiwan yang gembira menyambut kehadiran ribuan pelancong dari Asia Tenggara setiap bulan pastinya tidak mahu ‘kalah’ untuk menambat selera tetamu dari rantau berkenaan.
Begitupun, khabar pemergian Ayda ke Taiwan membuatkan segelintir pengikutnya di media sosial mula bertanyakan soalan yang 'nakal' dan ‘aneh’ kepadanya.
“Ada yang bertanya ‘makan pelik-pelik ke kat situ?’. Ada juga yang bertanya ‘makan katak goreng ke?’. Mungkin dalam pemikiran mereka, kalau datang ke sini memang sebegitu pilihan makanannya – eksotik,” cerita Ayda sambil tertawa.
Begitupun, Ayda sedar, itulah tugasnya – mempromosi situasi sebenar di Taiwan, lebih-lebih lagi apabila lembaga pelancongannya yang sangat terbuka dan berusaha sehabis baik bagi memenuhi keperluan serta syarat asas yang dimahukan golongan pelancong Muslim.
Antara lain yang dinyatakan Ayda adalah tentang persiapan hotel yang mesra Muslim. Itu dapat dilihat di bilik penginapan - daripada aspek kebersihan, petunjuk arah kiblat, ketersediaan sejadah malah naskhah al-Quran untuk kegunaan tetamunya.
Lebih daripada itu, di restoran hotel mahupun premis kedai makan yang sudah tahu bahawa mereka akan menerima kunjungan tetamu Muslim, ada syarat tambahan yang dikenakan pihak berkuasa pelancongan tempatan.
Pertama adalah pengasingan ruang dapur halal daripada dapur tidak halal. Itu termasuk dengan penggunaan pinggan, mangkuk serta peralatan memasak yang khusus untuk makanan halal, serta diikuti dengan tatacara pengurusan bahan mentah yang berbeza dengan dapur biasa.
Kedua adalah tentang keperluan pengambilan pekerja Muslim untuk mengendalikan kerja-kerja penyediaan makanan di dapur halal. Dalam hal itu, Taiwan tidak ketandusan tenaga kerja yang diperlukan, kerana terdapat ramai imigran beragama Islam yang berada di wilayah itu, khususnya pekerja dari Indonesia.
“Makanan Muslim di sini memang sangat sedap. Selama berada di sini, saya telah mengunjungi banyak restoran, terutamanya (yang menyajikan) makanan Indonesia. Saya makan macam biasa…. Ada bakso, sate, gado-gado semualah. Malah ada pilihan makanan Jepun dan Thailand yang halal.
“Kalau pilihan makanan tempatan, hotel yang mesra Muslim juga menyediakan sajian lokal yang popular seperti Taiwan beef noodle (mi sup daging) atau mi ayam, namun penyediaannya mengikut konsep halal,” jelas Ayda yang sempat menyebut tentang milk tea kesukaannya.
Tambahnya, hotel yang lebih teliti juga bukan hanya menggunakan pinggan mangkuk serta cawan yang bertanda halal (hanya untuk digunakan tetamu Muslim). Lebih daripada itu, meja makan untuk zon halal juga diberikan ruang khusus untuk mengelakkan percampuran yang tidak terkawal.
“Untuk anda semua yang tak pernah datang ke Taiwan, saya nak ajak mereka ke sini sebab banyak tempat menarik dan unik serta makanan yang halal boleh dicuba.
Pesan Ayda lagi: “Kalau nak tahu apa lagi yang menarik di Taiwan, jangan lupa ikuti video saya dan juga dapatkan maklumat dari lembaga pelancongan Taiwan. Jom lah ke Taiwan!”
* Perlukan maklumat lanjut tentang percutian ke Taiwan? Kunjungi akaun Facebook dan YouTube Taiwan Tourism Bureau dan laman web rasmi Taiwan Tourism Bureau.