Calon Perdana Menteri undang Taylor Swift buat konsert di Thailand
Agensi
Julai 7, 2023 09:15 MYT
Julai 7, 2023 09:15 MYT
Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat mengundang Taylor Swift untuk menyelit negara itu sebagai lokasi konsert jelajah Asia bintang pop dunia itu, 'The Eras Tour'.
Undangan itu dibuat Pita secara terbuka di akaun Twitternya.
"Hai Taylor! Peminat setia kamu di sini. Thailand kini kembali ke landasan untuk menjadi sebuah negara demokrasi selepas kunjungan kamu terpaksa dibatalkan sebelum ini akibat rampasan kuasa. Rakyat Thailand telah bersuara melalui pilihan raya dan kami semua berharap dapat menyambut kamu di negara kami yang indah!
“Datanglah dan saya akan menyanyikan lagu Lavender Haze bersama kamu,” tulis Pita yang turut meninggalkan tanda tangan nama Tim pada akhir hantaran itu.
Konsert jelajah 'The Eras Tour' oleh Swift mencipta fenomena dalam kalangan peminat setia penyanyi itu.
Pada ketika ini, jadual Swift hanya membolehkannya mengadakan persembahan di Singapura dan Jepun sahaja dalam senarai destinasinya ke Asia.
Swift yang popular dengan lagu Karma akan mengadakan 131 konsert sempena ‘The Eras Tour’ di lima benua bermula di Amerika Syarikat pada Mac lalu dan dijangka berakhir di London, Britain pada bulan Ogos 2024.
Media antarabangsa melaporkan, lebih 22 juta peminat setia penyanyi itu telah berdaftar untuk menonton konsert Swift di Singapura.
Di Singapura sahaja, penyanyi dan dan komposer berusia 33 tahun itu akan muncul dalam enam pementasan di Stadium Nasional negara itu pada bulan Mac 2024.
Tarikh-tarikh pementasan Swift di negara jiran itu ialah 2 hingga 4 Mac serta 7 hingga 9 Mac.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, juga memanfaatkan Twitter untuk cuba meyakinkan Swift berkunjung ke negara itu. - Agensi