Caliph Buskers minta pengendali pengangkutan awam prihatin keselamatan OKU
Madiha Abdullah
Mei 16, 2016 12:43 MYT
Mei 16, 2016 12:43 MYT
KUMPULAN buskers yang kini mencipta nama sebagai antara band terkenal dalam aliran mainstream, Caliph Buskers, meluahkan rasa kesal mereka berhubung aspek keselamatan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini.
Ia dinyatakan mereka susulan insiden kemalangan kecil yang membabitkan anggota kumpulan itu, Zaki Ismail.
Zaki mengalami patah tangan selepas terjatuh dari platform menunggu tren ke lantai landasan tren monorel, pada Sabtu.
Menurut status yang dimuat naik band itu ke akaun Facebook, mereka memaklumkan insiden sedemikian bukanlah kali pertama berlaku di stesen monorel dan LRT.
Sebaliknya kejadian seumpama itu sudah terlalu kerap berlaku khususnya kepada OKU penglihatan, namun tiada langkah penambahbaikan untuk mengelakkan kejadian itu berlaku.
Band berkenaan turut menyatakan harapan mereka agar apa yang diluahkan itu mendapat perhatian pihak-pihak berwajib, dan insiden yang menimpa Zaki itu tidak akan berulang di masa depan.