Ulasan tersebut menerima pelbagai reaksi, ada pengulas filem yang menyukainya tidak terkecuali wartawan hiburan yang menolak pandangan yang dilontarkan menerusi artikel tersebut.
Filem arahan Dain Said itu telah ditayangkan selama 21 hari dan mengumpul RM780,000 menerusi kutipan tiket di pawagam seluruh Malaysia.
Berikut merupakan artikel penuh ulasan filem Bunohan nukilan saya sendiri yang telah disiarkan pada 8 Mac 2012.
--------------------------
Setelah sekian lama pemikiran penonton filem Melayu berada di zon selesa, filem arahan Daid Said, Bunohan bakal merubah kelesuan tersebut. Pemikiran takuk lama peminat filem Melayu bakal digegarkan dengan ideologi pembikinnya dalam satu ujian minda yang berlatarkan sebuah perkampungan gersang di Kelantan iaitu Bunohan. Bunohan nyata berbeza apabila menampilkan lakonan penuh berkarisma, visual sinematografi dengan tangkapan artistik, kualiti pengarahan seni penuh simbolik dan disulam garapan bijak sang sutradaranya.Bunohan menawarkan suatu makanan yang segar pada menu tawar yang selama ini dihidangkan kepada penonton. Bunohan berada pada taraf yang berbeza dan tidak salah sekiranya GUA (penulis) katakan filem ini setaraf Jogho dan Kaki Bakar arahan U-Wei Haji Shaari lebih sedekad yang lalu.
Bunohan mengisahkan keruntuhan hubungan kekeluargaan tiga beradik, Adil (Zahiril Adzim), peninju tomoi yang melarikan diri dari gelanggang tinju di Thailand sebelum menyembunyikan diri di kampung halamannya; Bakar (Pekin Ibrahim), guru yang juga ahli perniagaan licik merancang strategi mahu menjual tanah milik keluarga bagi dibangunkan sebuah pusat peranginan; dan Ilham (Faizal Hussein), pembunuh upahan ganas penuh misteri yang lebih 20 tahun meninggalkan kampungnya. Bertemu di Bunohan, mereka terperangkap dan sesat dalam agenda masing-masing.
Menariknya Bunohan apabila visual yang digambarkan di layar perak mengukuhkan jalan cerita dan kekuatan tersebut turut disokong karisma setiap perwatakan yang hidup di tangan pelakonnya. Tangkapan artistik tetapi penuh makna dilakukan Charin “Tong” Pengpanich, sinematografer untuk filem terkenal dunia, Tropical Malady dan Uncle Boonmee Who Can’t Recall His Pass Lives, masing-masing pemenang trofi di festival berprestij Festival Filem Cannes.
Bunohan sangat gelap pada visualnya. Gelap yang memaparkan sisi hitam pada watak masing-masing. Paya bakau yang suram, lalang hijau, sungai kusam, arakan awan hitam dan ombak keras berpasir menambah kegelapan dan kegersangan kampung yang cukup kontang pada visualnya. Mise-en-scene dalam filem ini akan terus kekal menjadi rahsia pengarah tetapi ia menjadi hak penonton untuk menafsirkannya.
Harus diingat, kegelapan itu semuanya bermakna kerana ceritanya sebegitu. Namun, adegan yang paling sukar untuk GUA (penulis) lupakan pastinya sewaktu babak pertama filem ini. Berlatarkan di tepi pantai, Bakar memerhatikan pelan pembangunan pusat peranginan sebelum seorang kanak-kanak berlari dan akhirnya jatuh tersungkur. Tubuhnya disalut darah. Dia berlari dan disorot ke kelir wayang kulit dengan kesan torehan sebelum imej kanak-kanak itu berlari dirakam di sebalik torehan tersebut. Ia sudah cukup untuk menceritakan keseluruhan cerita yang ingin disampaikan dalam filem ini.
Diadun dialog pintar yang sepenuhnya menggunakan dialek Kelantan, penonton sekali sekala disuntik elemen jenaka bukan buatan dan dalam waktu yang sama harus pintar dan tangkas mentafsir metafora yang mahu disampaikan. Ada cerita dalam cerita pada Bunohan yang dimasukkan tanpa sedar. Sebaiknya Bunohan ditonton dengan minda yang bersedia lagi terbuka untuk menyelami lapisan-lapisan tersirat yang disampaikan baik menerusi dialog mahu pun visual. Perhatikan babak selepas Ilham diurut batin dan skrin televisyen yang menguasai ruang layar.
Adegan pada setiap babak disatukan dengan cukup baik, walaupun adakalanya kelihatan seperti suntingan yang tidak kemas sebaliknya ia adalah idea pengarah untuk membawa ideologinya kepada penonton dalam satu alam lain bagi membuka ruang mitos serta misteri. Sama seperti mimpi-mimpi yang kita alami setiap malam dalam tidur kita. Ia datang saat pejam dan tatkala celik, ia hilang. Manakala bagi penonton yang pernah menonton drama dan filem arahan Dain, "Senandung Malam" dan klip video 8 minit dari filem Dukun di YouTube, pastinya sedar ia adalah auteur pengarah itu yang cukup gemar bermain dengan imej grafik dan visual di bawah sedar.
Harus diingat, Bunohan bukan sekadar kisah sekelompok masyarakat dalam kehidupan sebuah kampung tersebut, malah melangkaui lebih daripada isu biasa yang sering melingkari mereka. Selain elemen kekeluargaan dan budaya (wayang kulit dan main puteri) yang cukup kuat semangatnya dalam filem tersebut, Bunohan turut memaparkan kejelekan politik dan senario perfileman negara (saya mengelak untuk memberikannya secara jelas) secara tersirat untuk penonton kelas pertama. Amati dialog pelakon dan gambaran visual yang ditampilkan kerana penggunaan Pohon Beringin dalam wayang kulit ada maknanya.
Mungkin ada penonton yang datang menyaksikan Bunohan semata-mata kerana aksi tomoinya, boleh saya katakan mereka pastinya akan kecewa kerana babak yang melibatkan adegan lasak tidak begitu panjang. Namun ia bukan persoalan besar kerana isu budaya, kekeluargaan, pengkhianatan, kesetiaan dan penipuan saling berkait bagi merungkai permasalahan sebenar dalam filem tersebut juga mampu melonjakkan adrenalin anda (terutamanya kepada Bakar).
Di aspek lakonan, GUA (penulis) merasakan Faizal Hussein sebagai Ilham cukup berat wataknya. Bayangkan bagaimana seorang pembunuh upahan perlu berdepan dengan Adil, adiknya sendiri dan dalam waktu yang sama dia cuba mempertahankan kubur ibunya dari dibongkar oleh komplot jijik adik tirinya sendiri, Bakar demi sekeping tanah untuk dibangunkan. Konflik perasaan dan jiwa yang dihadapi Ilham diperkuatkan lagi dengan visual yang cukup menggambarkan sisi perwatakannya yang gelap berlatarkan ombak besar, bayang cahaya bulan, gumpalan awan hitam dan wajah bersalut peluh jantan yang tidak pernah henti menitis.
Begitu juga Pekin, mastermind yang luarannya nampak baik tetapi kelicikannya sangat bersebab. Sementara Adil, yang sedar dia menjadi buruan abangnya sendiri berada dalam dilema untuk mengetahui asal-usulnya sendiri. Hubung kait ketiga-tiga watak dalam penceritaan yang tersendiri diolah oleh pengarah dengan cukup berkesan.
Menambah kegelapan Bunohan adalah bapa mereka, Pok Eng (Wan Hanafi Su), tok dalang yang masih berpegang teguh pada budaya wayang kulitnya serta hubungan dengan isterinya Mek Yah lakonan penuh dramatik yang telah dibawakan oleh Tengku Azura. Kelibat Tengku Azura, primadona main puteri yang juga pawang terkenal pada penghujung cerita merungkai setiap persoalan yang melibatkan mitos buaya putih dan misteri semangat pada seorang budak, anak jiran mereka. Di situlah letaknya cinta paling agung yang terbina dari sebuah keruntuhan.
Secara keseluruhannya, Bunohan boleh GUA (penulis) anggap sebagai filem terbaik yang pernah dihasilkan untuk tempoh dua dekad. Filem sebegini sewajarnya dibawa merentas sempadan. Siapa tahu, satu hari kelak filem terbitan tempatan juga mampu menggenggam trofi Oskar, meneruskan laluan yang pernah dirintis filem terbitan Enfiniti, Puteri Gunung Ledang.
Dibintangi oleh Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim serta dibantu Wan Hanafi Su, Amerul Affendi, Nam Ron, Tengku Azura, Bront Palarae, Soffi Jikan dan Hushairy Hussain, filem Bunohan bakal ditayangkan kepada umum mulai 8 Mac ini (telah selesai ditayangkan).
Sinopsis : Bunohan diolah dan berkisar mengenai penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarakkan dengan darah dan mitos.
Genre : Drama/Aksi
Festival : Festival Filem Antarabangsa Toronto, Anugerah NETPAC Festival Filem Golden Horse Taipei, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam
Kos : RM1.81juta
Penerbit : Apparat Sdn. Bhd.
Pelakon : Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Namron,
Soffi Jikan, Hushairy Husin, Amerul Affendi, Tengku Azura
Facebook/Twiiter : www.facebook.com/Bunohan @Bunohan_Movie
Rating : 4.5/5