Bunga untuk Diana Danielle, tanda pendamaian - Farid
Sinar Harian
Mac 28, 2023 10:30 MYT
Mac 28, 2023 10:30 MYT
SHAH ALAM: Pelakon Diana Danielle tiba di Mahkamah Syariah Subang Bestari di sini pada jam 9.02 pagi Selasa, bagi sebutan semula kes perceraiannya membabitkan proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Diana Danielle, 32, tiba di mahkamah dengan memakai jubah hitam sambil ditemani pembantu dan pengawal peribadinya.
"Salam Ramadan," kata Diana Danielle atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 32, yang turut melambai kepada media.
Seminit kemudian, Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, tiba di mahkamah dengan memakai baju batik berwarna hitam dan bercorak putih, ditemani peguamnya.
Pelakon filem Lagenda Budak Setan ini turut dilihat memegang sejambak bunga mawar, sejurus keluar dari kereta jenis Vellfire.
"Bunga ini saya nak beri kepada Diana Danielle sebagai tanda pendamaian pertama," katanya.
Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid, awal bulan ini.
Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut.
Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.