Bunga Salju: 'Mereka lebih bijak daripada manusia normal' - Hisyam Hamid
Media Hiburan
Jun 22, 2024 16:45 MYT
Jun 22, 2024 16:45 MYT
PELAKON Hisyam Hamid mengakui membuat persiapan rapi untuk membawakan watak Azizi yang juga merupakan seorang penghidap autism dalam drama terbaharu Bunga Salju.
Menurut Hisyam, dia juga telah meluangkan masa untuk mendalami ilmu mengenai austism serta bergaul dengan penghidap simptom tersebut.
“Saya agak gementar ketika diberi watak Azizi, jadi saya buat kajian dengan tonton filem luar negara dan pergi ke NASOM selain berjumpa dengan lelaki yang wataknya sama dengan Azizi.
“Lelaki itu bernama Syafiq berusia 29 tahun. Bekerja dalam bidang IT dan seorang high-functioning autism sama seperti watak Azizi. Dia seorang yang sangat bergantung kepada nasihat ibunya.
“Saya perhatikan cara dia bercakap, berjalan dan gerak tangannya, hasilnya adalah apa yang penonton lihat dalam drama Bunga Salju,” katanya.
Pada masa sama, pelakon asal Singapura ini juga teruja apabila drama ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa penghidap autism ini turut mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.
“Saya ada baca komen-komen penonton di laman sosial, rata-rata mereka tidak tahu ada orang autisme seperti Azizi.
“Malah ada yang komen mahukan lelaki seperti Azizi kerana jujur (ketawa).
“Apapun saya gembira naskhah ini selain hiburan turut memberi kesedaran kerana penonton bahawa ada orang autisme yang high-functioning dan ada kalanya mereka lebih bijak daripada orang normal,” ujarnya lagi.
Terdahulu, drama Bunga Salju berjaya mendominasi dan meraih rating tertinggi untuk slot Tiara (jam 6 petang) di Astro Ria.
Menurut penerbit David Teo, dia tidak menyangka genre drama seperti ini mendapat sambutan hangat daripada penonton.
“Mulanya pihak kami agak bimbang peminat drama mungkin tidak mahu tonton drama tentang autisme, tetapi kami silap kerana Bunga Salju mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton.
“Saya sendiri difahamkan Bunga Salju mendapat rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria setakat ini dan apa yang membanggakan drama ini masih belum tamat dan berbaki banyak episod lagi.
“Kejayaan drama ini datang daripada kerjasama satu pasukan yang baik, bukan sahaja daripada barisan pelakon yang sangat cemerlang tetapi juga kru belakang tabir,” katanya lagi.
Sementara itu, watak Hamdan yang dibawakan oleh pelakon Hariz Hamdan turut berjaya menambat hati penonton meskipun ini merupakan pengalaman pertamanya membawakan watak antagonis.
“Sepanjang drama ini bersiaran saya sudah bersedia untuk dibenci dan dikecam penonton kerana Farouk memang sangat jahat.
“Selain membuat kajian sendiri, saya juga dibantu oleh pelakon-pelakon senior yang hebat di set penggambaran seperti Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy,” kongsi Hariz.
Terdahulu, Bunga Salju ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104). -Media Hiburan