Buli siber: Sophia Albarakbah kumpul bukti

Sinar Harian
Ogos 15, 2024 15:30 MYT
Sophia tidak mahu membiarkan dirinya terus dibuli.- Foto Sinar Harian
TIDAK lagi mahu terus berdiam diri selepas sering menjadi mangsa buli siber, termasuk gangguan seksual, aktres Sophia Albarakbah kini giat mengumpul bukti untuk mengheret pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Jelas Sophia atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, dia sering menerima imej tidak senonoh dan kata-kata hinaan melalui media sosial.
"Saya sering dapat mesej lucah di akaun Instagram saya, ada yang tergamak hantar gambar kurang sopan. Saya tak tahulah, adakah bagi mereka perkara itu lawak?
"Setiap hantaran yang dibuat, saya tunjuk kepada pengurus dan sekarang pengurus akan simpan bukti tersebut, termasuklah yang mesej maki saya.
"Saya akan teruskan dengan tindakan susulan mengikut saluran yang sepatutnya," katanya.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Harimau Malaya: The Untold Journey di Damansara baru-baru ini.
Filem arahan Afdlin Shauki itu diinspirasikan daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya era jurulatih Kim Pan Gong di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun, bakal menemui penonton bermula 15 Ogos.
Tambah wanita berusia 31 tahun itu, dia semakin rimas dengan situasi tersebut kerana terpaksa berdepan dengan tindakan yang disifatkannya sebagai buli siber itu hampir setiap hari.
"Setiap hari bila buka Instagram, ada sahaja mesej yang masuk. Setiap hari ada, saya tak tengok tarikh tetapi banyak. Ada yang nampak benci sangat pada saya tanpa sebab.
"Itu belum lagi yang hantar kata-kata lucah, gambar tidak senonoh. Kalau orang itu normal, pasti dia tidak akan buat perkara seperti ini. Ini sudah tentu perbuatan seseorang yang psiko," ujarnya kesal.
Ditebak mengenai kemungkinan menerima mesej lucah kerana imejnya yang seksi, bintang Jiwa 8 Belas itu pantas menolak.
Katanya, sekiranya ada kanak-kanak atau pun haiwan yang menjadi mangsa gangguan seksual, adakah mereka juga bersalah?
“Kita ada banyak kes lelaki buat perkara tidak elok pada binatang. Adakah binatang pakai seksi? Yang pedofilia pula buat perkara tidak elok pada kanak-kanak atau bayi, jadi adakah mereka itu berpakaian seksi?
“Kita tidak boleh salahkan mangsa, kalau letak orang yang baik sebelah mana-mana perempuan, dia tetap tidak berbuat apa-apa,” jelasnya.
Sophia berkata, dia berharap pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti daripada terus menjadikannya mangsa.
“Siapa saja yang tidak terjejas mental kalau kena hadap perkara begini setiap hari? Saya juga manusia biasa yang harus bekerja untuk teruskan kehidupan.
“Saya tidak boleh sekat akaun-akaun terbabit daripada mengikut saya di Instagram kerana kalau disekat, tidak dapat bukti,” katanya. -- Sinar Harian
#Sophia Albarakbah #buli siber #kumpul bukti #gangguan seksual #pelakon
;