Buku Terima Kasih Si Babi Hutan dijual 15 ribu naskah dalam 14 hari

Irwan Muhammad Zain
Mei 16, 2015 09:59 MYT
Buku Terima Kasih Si Babi Hutan dijual 15 ribu naskah dalam 14 hari
Kebiasaannya buku atau novel cinta mudah untuk laku di pasaran atas beberapa faktor antaranya, bagi mereka yang gemar membaca novel genre ini, ia dianggap tidak 'berat'.
Dan kebiasaannya juga, buku-buku yang dianggap serius tidak laku, selalunya, dengan alasan ia 'berat', pembaca tidak suka, hanya sedikit dari yang sedikit gemarkan buku-buku yang genre 'berat' ini. Tetapi, dalam tempoh dua minggu, sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Dubook Press membuktikan bahawa buku genre 'berat' bukan lagi masalah untuk dijual.
'Terima Kasih Si Babi Hutan' tulisan Ismail Ariffin atau lebih mesra disapa dengan nama Lepat, dijual mencecah 15 ribu naskah dalam tempoh dua minggu. Cetakan pertama, lima ribu naskah habis dalam masa tiga hari. Ini satu rekod untuk buku yang serius.
Kalau buku genre hiburan, mungkin ia satu perkara biasa, tetapi untuk buku yang selalunya dikatakan 'berat' terutamanya bagi golongan remaja, ia sesuatu boleh dibanggakan oleh penerbit dan penulisnya. 'Terima Kasih Si Babi Hutan' juga diterima dengan baik oleh remaja yang selalunya dikatakan hanya suka buku 'ringan'.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dubook Press, Mutalib Uthman ketika ditanya Astro AWANI kenapa memilih (atau lebih tepat lagi sanggup habiskan duit) untuk menerbitkan buku tulisan Lepat ini menjelaskan, perjalanan hidup Lepat, segala susah payahnya, membuatkan Dubook Press mahu diterbitkan.
"Perjalanan, kepayahan yang ditempuhi Lepat itu menarik minat kami (Dubook Press) untuk menerbitkan buku ini kerana ia sedikit sebanyak, sama seperti apa yang kami tempuhi pada awal penubuhan syarikat ini.
"Kami akui, pernah ada buku yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan indie terjual dengan lebih banyak pada hari pertama ia dilancarkan, tetapi ia merupakan buku dalam genre hiburan, buku 'ringan'.
"Tetapi untuk buku ini (Terima Kasih Si Babi Hutan), ia boleh dianggap belum ada lagi buku genre serius yang sold out dalam tempoh tiga hari pertama," katanya yang semakin aktif menerbitkan berbagai judul buku dibawah Dubook Press.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin antara mereka yang awal memiliki buku Terima Kasih Si Babi Hutan di PBAKL baru-baru ini.
'Terima Kasih Si Babi Hutan' merupakan catatan Lepat mengenai perjalanan hidupnya, yang ada ketikanya dilemparkan dengan berbagai tohmahan oleh mereka yang tidak pernah memahami atau tidak mahu untuk mengerti. Tetapi Lepat, tidak mempedulikan tohmahan yang ada masanya terlalu kejam, tidak pernah lelah untuk meneruskan perjalanan hidup yang telah ditakdirkan.
Ada kandungan buku ini merupakan catatan-catatan lama Lepat yang pernah cuba diterbitkan sebelum ini namun tidak menjadi kenyataan.
'Terima Kasih Si Babi Hutan' dijual pada harga RM25.00 senaskah. Pesanan boleh dibuat menerusi Facebook Dubook Press dan Lepat.
#Buku #Lepat #Terima Kasih Si Babi Hutan
;