Buku edisi kelapan Harry Potter akan diterbitkan Julai ini!
Kohilah Sekaran
Februari 11, 2016 12:28 MYT
Februari 11, 2016 12:28 MYT
ADA berita gembira untuk semua peminat Harry Potter!
Penulis J.K. Rowling akan membawa kembali peminatnya ke dunia ilmu sihir dengan pelancaran buku Harry Potter edisi kelapan pada Julai ini.
Perkara ini diumumkan oleh Rowling di laman webnya, Pottermore pada Khamis.
"Harry Potter and the Cursed Child-Part I&II" adalah buku berdasarkan skrip pertunjukan pentas London yang akan ditayangkan pada 30 Julai ini.
Pertunjukan pentas ini adalah berdasarkan cerita asal baru yang ditulis oleh J.K Rowling, Jack Thorne dan John Tiffany.
Buku versi digital juga akan diterbitkan secara serentak dengan edisi cetak pada 31 Julai.
Menurut laman Pottermore, “Harry Potter dan the Cursed Child” akan membawa kisah hidup Harry Potter selepas 19 tahun, di mana Harry Potter kali terakhir dilihat melambai kepada dua anak sulungnya yang berlepas ke Hogwarts dalam “Harry Potter and the Deathly Hallows”.
Ia akan mengisahkan pergelutan Harry Potter sebagai seorang pekerja yang bekerja keras di Kementerian Sihir serta perjuangan Harry Potter bersama anaknya Albus dalam mempertahankan legasi keluarga mereka.