Bukti rakaman 'Amber VS Johnny' didedahkan 25 Jun ini
Gempak
Jun 23, 2022 11:58 MYT
Jun 23, 2022 11:58 MYT
KECOH industri hiburan Hollywood mengenai pergelutan kes di antara pelakon hebat Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard.
Perbicaraan bermula apabila Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).
Heard yang juga pelakon filem "Aquaman" membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan serta keganasan fizikal’ daripada Depp.
Pun begitu, Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard.
Deep sebaliknya mendakwa ketika perbicaraan bahawa wanita itu yang sering bertindak ganas.
Namun, selepas enam minggu perbicaraan, pelakon "Pirates of The Caribbean" akhirnya memenangi kes saman fitnah terhadap Amber Heard pada 2 Jun lalu.
“Selepas enam tahun, mahkamah beri kehidupan saya kembali,” katanya selepas memenangi kes berkenaan.
Menariknya, sepanjang enam minggu perbicaraan di mahkamah itu, banyak babak dan sedutan klip siaran langsung tular di platform media sosial.
Ada yang terhibur dengan jawapan dan reaksi Amber, tidak kurang juga viral mengenai aksi hebat peguam Johnny iaitu Camille Vasquez mengeluarkan hujahannya.
Bagi anda yang terlepas menyaksikan perbicaraan ‘ikonik’ ini, jangan bimbang kerana ia bakal ditayangkan secara eksklusif!
Dokumentari ini bakal menggali segala bukti secara meluas dan komprehensif sepanjang prosiding undang-undang di UK, termasuk rakaman video, foto, mesej teks dan rakaman audio yang dibuat oleh pasangan itu sendiri.
Saksikan "Amber VS Johnny" pada 25 Jun ini, jam 9.55 malam di saluran Discovery Channel.
*Artikel asal disiarkan di Gempak