"Bukan tuju pada sesiapa" - Isma jawab kritikan isu DJ buat lawak dan gelak sendiri

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 4, 2019 17:50 MYT
Pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penyiaran mendedahkan Isma pada banyak pengalaman.
Peranan penyampai radio atau Dj adalah besar dan ia bukanlah hanya untuk bersuka ria semata.
Sebaliknya ia adalah tugas yang besar yang membabitkan kelompok masyarakat yang mendengar.
Tanpa merendahkan atau memandang sinis terhadap mana-mana DJ yang ada ketika ini Isma Halil Hamzah secara umum mengingatkan agar DJ yang ada perlu menyedari tugas dan tanggungjawab sebenar yang perlu dimainkan.
“Kita faham peredaran semasa yang mungkin berlakunya perubahan dari segi penyampaian.Itu adalah biasa dan perlu diterima. Saya tidak bandingkan era dahulu dengan sekarang tetapi ia perlulah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
"Ramaipun sebenarnya DJ sekarang yang bagus dan saya ada ramai kawan Dj yang memang menjalankan tugas mereka dengan baik dan dalam masa yang sama menghiburkan," kata bekas penyampai radio THR Gegar ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Kenyataan itu juga, tegas Isma, tidak bermaksud dia menuduh mana-mana DJ seperti yang diperkatakan kononnya hanya tahu buat lawak dan ketawa sendiri tetapi teguran yang dilontarkan adalah bersifat umum tanpa menujukannya kepada sesiapa.
“Kita harus ingat apabila kita ke udara setiap patah perkataan dan cara penyampaian kita akan membentuk pemikiran dan cara berfikir masyarakat yang mendengar. Itu sebenarnya yang perlu kita ingat apabila setiap kali kita masuk konti.
"Dulupun kita berhibur sambi menyampai. Dulu lagilah era rock kapak. Pun begitu kita masih sedar tanggungjawab kita dan etika. Tak salah berlawak atau berjenaka. Saya pun suka membuat orang ketawa dan menghiburkan, itu biasa,' ujar Isma lagi.
Dalam masa sama, Isma juga mengingatkan DJ angkatan generasi baharu mengenai tahap pemikiran pendengaran masa kini semakin matang selain kebijaksanaan mereka juga tidak boleh dipandang rendah.
"Setiap DJ harus siap memiliki ilmu, jangan sekadar bercakap tanpa mengetahui kesan atau implilkasi kerana pendengar semakin kritikal. Maklumat sudah di hujung jari, pantas sahaja kesilapan kita akan dikongsi di media sosial," kata Isma menitip nasihat.
Menyentuh mengenai untung nasib rock kapak ketika ini, Isma berpendapat, pengikut setia genre muzik itu masih ada namun perlu akur dengan peredaran masa.
“Itu biasalah, seperti juga zaman era 60-an dulu yang kian suram ketika 80-an atau 90-an (ambil alih). Itu hakikat yang kita kena akui. Tetapi mereka tetap ada peminat sendiri," kata Isma.
Isma popular di era 90an yang sinonim dengan zaman kegemilangan rock kapak berjaya menarik ramai peminat mendengar siaran kendaliannya.
Dia masih aktif lagi dalam bidang penyiaran dan mengendalikan siaran radio digital, Bapakku FM.
#Astro #Astro Awani #dj #hiburan #Isma Halil Hamzah #muzik #rock
;