Bukan sekadar konsert, 'Here I Am' refleksi perjalanan seni Rossa

Bernama
Februari 12, 2025 20:00 MYT
Penyanyi berusia 46 tahun itu dijangka turut mengadakan konsert bertajuk sama di Indonesia dan Singapura pada tahun ini. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: "Here I Am." Frasa ringkas tetapi penuh makna bagi Ratu Pop Indonesia Datuk Seri Rossa yang memilih ungkapan itu sebagai tajuk konsert terbesarnya pada 14 Jun depan.
Dijadualkan bertempat di Axiata Arena, konsert itu kata Rossa bukan sekadar persembahan pentas, tetapi merupakan refleksi perjalanan seni dan pencapaiannya sepanjang lebih 25 tahun dalam industri muzik.
"Kenapa saya menamakan Here I Am sebagai tajuk konsert saya? Kerana ia tentang diri saya, cerminan perjalanan hidup saya, suka duka yang saya lalui bukan sahaja dalam kerjaya seni tetapi juga hidup saya dan saya percaya pernyataan ini juga terkait dengan semua orang.
"Saya ingin merayakan momen bahawa 'ini adalah kita yang sekarang', yang telah hebat menempuh pelbagai hal , bermandi keringat, air mata dan sebagainya. Saya berharap hari ini kita boleh berbangga dengan diri sendiri dan membuat lebih lagi ke depan," katanya dalam satu sidang secara maya bersama media Malaysia hari ini.
Jelasnya, beliau turut mendapat inspirasi untuk mengadakan konsert dengan tema sedemikian apabila melihat kembali video-video muziknya sejak awal pembabitan dalam industri, termasuk lagu-lagu hit yang pernah dihasilkan pada awal 2000.
"Saya berfikir banyak perubahan telah berlaku ... ternyata saya di industri ini sudah begitu lama, pada waktu itu ada lagu Tegar, Hati Yang Terpilih dan Kini. Ia mengingatkan saya tentang zaman saya dahulu dan ternyata trend banyak berubah dan saya berharap akan sentiasa boleh mengikuti dan membuat trend baharu untuk lagu-lagu akan datang," katanya.
Berjanji memberikan persembahan terbaik menerusi dendangan 27 buah lagu hit, penyanyi 'Hey Ladies' itu berkata konsert tersebut meliputi beberapa segmen mengikut genre dan akan berlangsung selama tiga jam.
Rossa berkata konsert yang menyasarkan 11,700 penonton itu akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan sangat berbeza daripada konsertnya sebelum ini, selain melibatkan banyak kolaborasi dan kejutan bagi memastikan kepuasan penonton.
Penyanyi berusia 46 tahun itu dijangka turut mengadakan konsert bertajuk sama di Indonesia dan Singapura pada tahun ini.
Konsert tersebut dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama Sah Entertainment serta mendapat sokongan Maybank sebagai rakan strategik perbankan yang menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggannya.
Tiket akan dijual bermula 10 pagi Jumaat (14 Feb) ini dengan harga RM228 hingga RM788 (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran) di laman web ticket2u, manakala tiket korporat boleh didapati dengan menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau emel rossa@yayasanprihatin.com.
-- BERNAMA
#ROSSA #Malaysia #konsert #Here I Am
;