Bukan sekadar hiburan, Gegar Vaganza jadi tempat cari jodoh pula?
Madiha Abdullah
November 21, 2016 16:23 MYT
November 21, 2016 16:23 MYT
PENTAS suku akhir program realiti Gegar Vaganza (GV) berakhir dengan pelbagai cerita pada Ahad.
Tujuh peserta berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir minggu depan dengan Zur Eda menjadi peserta terbaru yang disingkirkan.
Namun di sebalik kemeriahannya, ada satu kisah yang agak mencuit hati terjadi dan menjadi bualan netizen di laman sosial.
Namun begitu, ada penonton yang tidak sekadar menjadikan GV sebagai hiburan pada malam minggu.
Seorang penonton GV yang juga pengguna Twitter dengan nama @irwanfaizal, mungkin telah 'bertemu' gadis idamannya semasa menonton program itu di kaca televisyen.
Wajah seorang gadis yang merupakan penonton di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), nampaknya telah berjaya mencuri perhatian Irwan.
Tertarik dengan apa yang dilihatnya, Irwan kemudiannya meminta bantuan netizen untuk retweet atau RT gambar tersebut sehinggalah gadis itu berjaya dikesan.
Hasilnya, status dan gambar yang dimuat naik Irwan itu di retweet sehingga 1,000 kali.
Namun ada juga netizen yang mengatakan gadis tersebut merupakan kakak ipar, tunang dan isteri mereka.
Sehingga kini, status gadis itu tidak dapat dipastikan.
Melalui retweet yang dibuat di akaun Twitter Irwan, gadis tersebut telah dijumpai. Namun tidak pasti pula apa sambungan ceritanya selepas ini.
Netizen biarpun merasakan apa yang dilakukan Irwan agak menggelikan hati, namun dalam masa yang sama berpendapat ia tidak salah.
"Kalau sama-sama single, apa salahnya," kata mereka.