'Bukan gimik!' - Sissy Imann kongsi kisah di sebalik jual album RM20
Gempak
Februari 4, 2023 09:30 MYT
Februari 4, 2023 09:30 MYT
PENYANYI Sissy Imann berkongsi kisah di sebalik keputusan untuk menjual album sulungnya pada harga RM20 sahaja menerusi laman Instagram.
Sebelum membuat keputusan untuk jual, Sissy yang dalam keadaan emosi tidak terkawal ketika itu mencampak albumnya yang berada di atas meja disebabkan terlalu kecewa dengan dirinya.
“Memang saya nekad tak nak tengok album ini, sebab itu saya jual supaya boleh bagi dekat orang.
"Sebenarnya ada kejadian sebelum saya buat keputusan untuk jual RM20.
“Ia sangat peribadi, sebenarnya pada hari itu saya bangun tidur dan ada rasa kecewa. Saya keluar bilik nampak album ada atas meja, saya tak tahu apa difikirkan, saya ambil dan campak album itu.
“Lepas itu, saya nampak album itu bawah kerusi dan terus menangis sepuas-puasnya. Saya ambil album itu dan letakkan semula atas meja kemudian masuk bilik, terus upload IG untuk jual.
“Sebenarnya ayahanda dan bonda tahu saya nak jual pun selepas mereka tengok posting saya di IG,” katanya kepada Gempak.
Sissy ditemui ketika majlis pelancaran album Abbey Road Sissy Imann di kediamannya yang terletak di Kajang, Selangor pada Khamis.
Sementara itu, Sissy memberitahu dia mendapat kekuatan untuk melancarkan album yang telah dirakam di studio Abbey Road, London itu selepas keluarga dan rakan terdekat memujuknya.
“Sejujurnya adalah kerana ayahanda, bonda, adik dan abang saya… apa yang ada di rumah saya (hiasan) untuk pelancaran album semuanya dilakukan oleh keluarga saya.
“Masa mereka tengah hias-hias semalam (Rabu), dalam hati saya masih cakap ‘aku kan kata tak payah la buat’.
"Saya masih ada perasaan itu tapi apa yang menguatkan saya dan saya rasa perlu lakukan ini sebab keluarga saya.
“Saya rasakan mereka berada bersama… bukan saya bikin album untuk pendengar yang menyokong saya tetapi untuk keluarga saya juga,” ujarnya.
Terdahulu, Sissy dan Naim yang menyertai sebuah program realiti televisyen dikritik secara kasar oleh Mas Idayu selepas menyanyikan lagu Jampi (Hael Husaini) dalam irama keroncong.
Akibat insiden tersebut, Sissy tidak dapat menahan sebak dan terus menangis di atas pentas.
Insiden itu juga membuatkan Sissy seolah-olah hilang semangat dan membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada bulan hadapan susulan kritikan diterima dalam pertandingan tersebut. -Gempak