Bukan gimik, Haqiem Rusli akui alami 'mild depression'

Madiha Abdullah
Julai 5, 2018 21:07 MYT
Haqiem akui mengalami tekanan kerana kecaman yang diterima sejak bergelar penyanyi - Instagram Haqiem Rusli
NAMA penyanyi Haqiem Rusli tiba-tiba hangat sehari dua ini selepas didakwa menggunakan gimik tekanan perasaan untuk mempromosikan single terbaharunya.
Bukan sahaja menerima kecaman netizen, malah rakan artis juga tidak ketinggalan meluahkan pendapat terhadap tindakan sedemikian yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan.
Dalam sidang media sebentar tadi, Haqiem menafikan kenyataan tersebut sekadar gimik, sebaliknya mengakui mengalami mild depression yang bermula kira-kira setahun lalu.
"Setiap hari saya berdepan dengan kritikan netizen tentang saya. Kata mereka, saya tak pandai menyanyi dan kecam penampilan fizikal saya.
"Saya melalui semua itu sendirian. Saya tak pernah buli sesiapa di laman sosial, tapi orang 'buat' saya dan saya tak pernah balas," kata Haqiem dalam esakan.
BACA: Haqiem Rusli tak jadi bersara, depresi sekadar gimik
Haqiem turut mengakui kesan daripada itu, dia menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti insomnia, keletihan dan berat badan yang tidak stabil.
"Saya masih muda, adakalanya saya kekok untuk berhadapan dengan situasi tertentu. Saya terfikir, adakah saya patut jadi orang lain atau saya boleh jadi diri sendiri?" katanya.
Penyanyi berusia 20 tahun itu menambah, status yang dimuat naik berhubung isu kemurungan dan mahu menarik diri dari dunia hiburan, dibuat tanpa berfikir panjang.
"Saya akui itu salah saya sepenuhnya. Bukan salah syarikat rakaman, bukan juga salah rakan-rakan artis.
"Maafkan saya. Saya sedar, tidak sepatutnya saya sesuka hati menggunakan terma depresi itu," kata Haqiem.
Haqiem sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya mengalami kemurungan dan berhasrat menarik diri dari dunia hiburan kerana masalah itu.
#Aiman Tino #Caprice #depresi #Ernie Zakri #Haqiem Rusli #laman sosial #Rahmat Ikhsan #tekanan
;