Buka aib Fattah Amin, Fazura boleh dikenakan perintah hina mahkamah - Peguam

Sinar Harian
Oktober 7, 2024 14:20 MYT
Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Fattah berkata, ia hanya boleh dilaksanakan, jika Fazura benar-benar melanggar persetujuan perceraian. - Foto Bernama
SUBANG BESTARI: Kurang sejam selepas bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Isnin, pelakon, Fazura boleh dikenakan perintah menghina mahkamah kerana tidak menjaga aib bekas suaminya, Fattah Amin.
Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, ia hanya boleh dilaksanakan jika Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, benar-benar melanggar persetujuan perceraian.
Menurutnya, ini kerana mahkamah telah merekodkan persetujuan sebagai suatu perintah, yang mana ia tidak didedahkan secara terperinci kepada umum.
“Jika berlaku perlanggaran perjanjian, maka pihak itu didapati tidak menghormati atau gagal mematuhi peruntukan.
“Mangsa dalam kes ini, boleh memfailkan permohonan menghina mahkamah dan jika dibenarkan, notis tunjuk sebab akan dikeluarkan, mengapa seseorang itu tidak patut dipenjara kerana melangar perintah yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak mempunyai alasan untuk berpisah, namun pelakon filem 'Pendekar Awang' itu sentiasa dinasihati supaya berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan agar tidak tersasar daripada perjanjian yang dipersetujui.
Bagaimanapun, beliau belum menilai sejauh mana kenyataan yang mendakwa usahawan tudung itu telah melanggar perjanjian persetujuan perpisahan dengan anak guamnya.
“Terserah kepada Fattah untuk menilai sejauh mana kebenaran yang dianggap mengaib atau tohmah itu sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili pelakon filem ‘Gol & Gincu’ selaku plaintif, enggan membalas kenyataan berhubung itu tersebut, kerana ia boleh memprejudiskan kes.
Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin semakin jelas apabila aktres itu menfailkan penceraian pada 13 September lalu.
Fazura selaku defendan dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Fattah, Fazura sah bercerai talak satu
-- Sinar Harian
#Fattah Amin #Fazura #hina mahkamah #bercerai
;