Buat IG Live dengan Aliff Aziz, ini alasan Bella Astilah
Gempak
September 25, 2019 19:40 MYT
September 25, 2019 19:40 MYT
PELAKON Bella Astilah tidak melihat isu masih berhubung baik dengan bekas suaminya, penyanyi Aliff Aziz sebagai satu yang masalah.
Isu tersebut timbul selepas Bella berkomunikasi secara langsung dengan Aliff menerusi Instagram Live baru-baru ini.
Jelas Bella, dia hanya ingin memberi sokongan kepada Aliff selepas apa yang dilaluinya.
"Netizen ada pendapat masing-masing tapi saya tidak kisah mereka rasa tidak selesa sebab kalau mereka tak suka, boleh saja meninggalkan ruangan 'live' itu.
"Saya tidak ingin orang cakap saya membenci Aliff. Saya tahu keadaan Aliff macam mana. Saya sendiri yang mengajaknya untuk melakukan IG Live bersama kerana Aliff tidak yakin berseorangan.
"Saya tetap akan membuat IG Live bersama walaupun ramai netizen tidak menyukainya.
"Kalau orang lain tak sokong dia, siapa lagi kan. Lagipun, dia ayah kepada anak saya," katanya kepada Gempak.
Bella ditemui di sidang media Havoc Food Festival di Red Box Karaoke The Gardens sebentar tadi.
Tambah Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, Aliff kini sedang memperbaiki diri dengan menuntut ilmu agama.
"Aliff pun sekarang semakin rajin pergi ke kelas agama dan mengaji.
"Bagi saya, apabila kita sentiasa melakukan yang baik, Insya-Allah akan mendorong perkara kebaikan. Tapi itu saja yang saya tahu mengenainya," tambahnya lagi.
Umum mengetahui mahligai yang dibina Bella dan Aliff selama tiga tahun itu berkecai apabila suaminya itu didakwa kerap berlaku curang bersama wanita lain.
Bella memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Aliff pada 21 Mac lalu selepas beberapa kali tertangkap menjalin hubungan dengan wanita lain.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Ayden yang kini berusia dua tahun.