"Bu Kasih Suci" tiga cerita dalam sebuah filem
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 20, 2019 17:48 MYT
Mac 20, 2019 17:48 MYT
IMPIAN Kak Mah untuk mendukung cucu mula retak apabila menantu perempuannya, Diana bercadang menangguh rancangan kehamilan demi masa depan kerjayanya.
Walaupun mendapat sokongan daripada suaminya, Zack, namun Kak Mah tidak setuju dengan keputusan itu.
Lebih teruk lagi, Kak Mah dan Diana juga tidak tahu tentang syarikat arkitek kepunyaan Zack sudah gulung tikar.
Itu antara sinopsis filem terbaharu berjudul “Bu Kasih Suci” yang akan mula ditayangkan pada 11 April ini.
Melihat kepada barisan pelakonnya agak sukar untuk kita menolak stigma bahawa ia tentunya sebuah karya yang hebat.
Rashidi Ishak, Nadiya Nisaa, Nadia Brian, Remy Ishak, Dian P.Ramlee, Iedil Putra, Mawar Rashid dan Wan Hanafi Su, deretan pelakon yang sangat berpengalaman dan disegani dalam industri perfileman negara.
Nadiya Nisaa yang memegang watak Aishah dan Wan Hanafi Su yang sempat menjengah ke pejabat Astro AWANI dalam rangka mempromosikan filem tersebut berkata, filem ini sebuah naskhah unik dari sudut plot penceritaannya.
“Filem ini sebenarnya trilogi... ada tiga cerita dalam filem ini. Kisah saya dengan keluarga saya dengan pelakon hebat ni (Wan Hanafi Su).
"Kisah kedua adalah babak yang dimainkan oleh Remy Ishak dan isterinya. Pasangan muda yang gigih mengharungi kehidupan di Kuala Lumpur dan cuba untuk mendapatkan anak.
"Keluarga ketiga pula kisah keluarga Dian P. Ramlee yang kaya,” kata Nadiya yang mengakui teruja memainkan watak dan berlakon bersama aktor hebat seperti Wan Hanafi Su.
Bagi Wan Hanafi Su pula, watak yang diberikan kali ini bertepatan dengan apa yang dikehendakinya dan ia merupakan penyebab mengapa dia menerima tawaran tersebut.
“Watak yang saya suka, melakonkan watak seorang yang sentimental. Watak yang saya lakonkan ini sangat jarang kita angkat sebelum ini.
"Peranan dan perwatakan itu lebih tertumpu kepada dialog yang digunakan. Dialog yang banyak mengambarkan watak yang dimainkan,” kata pelakon itu.
Filem ini diarahkan oleh pengarah muda yang kini semakin mendapat tempat dalam industri ketika ini iaitu Jeany Amir dan diterbitkan oleh MM2 Entertainment.
Wan Hanafi Su dan Nadiya sependapat bekerja dengan Jeany sangat menyenangkan kerana sutradara itu seorang yang bijaksana dan tahu apa yang dikehendakinya.
Walaupun masih muda selain berkelulusan luar negara, namun Jeany, kata mereka berdua, mempunyai aspirasi yang sangat tinggi dalam berkarya.
"Bu Kasih Suci" disimpulkan Wan Hanafi Su dan Nadiya terkandung pelbagai mesej kemanusiaan dan sangat berbeza dengan apa yang pernah ditonton oleh rakyat Malaysia.
Jadi kepada kaki wayang tu jangan lupa, bolehlah berkunjung ke pawagam terdekat anda bermula 11 April ini untuk menyaksikan sendiri “Bu Kasih Suci”.