BTS umum 'cuti panjang', mohon tidak diganggu peminat

Astro Awani
Ogos 12, 2019 12:25 MYT
BTS umum bercuti untuk tempoh yang panjang daripada arena muzik. -Gambar fail
KUMPULAN K-Pop terkemuka BTS mengumumkan mereka akan berehat untuk tempoh yang panjang daripada arena muzik.
Pengurus agensi Big Hit Entertainment yang mengendalikan kumpulan itu dalam kenyataan pada Isnin menyebut bahawa tempoh berehat itu adalah untuk kumpulan itu "memulihkan semangat sebelum kembali beraksi sebagai pemuzik dan penggubah."
"Ia juga masa untuk mereka menikmati kehidupan seharian sebagai jejaka di usia 20-an.
"Jika anda terserempak dengan BTS di lokasi yang tidak dijangka, kami mohon pertimbangan peminat untuk membiarkan anggota kumpulan ini sendirian," kata agensi itu.
Walaupun tidak menyebut secara spesifik tempoh yang dimaksudkan, dipercayai 'kehilangan mereka dalam arena muzik' mungkin hanya seketika.
Ini kerana kumpulan itu dijadual membuat persembahan dianggap 'kontroversi' di Arab Saudi pada Oktober ini.
BTS mengungguli carta Amerika Syarikat dan Britain awal tahun ini. Sejak muncul kali pertama enam tahun lalu, inilah kali pertama kumpulan dianggotai tujuh jejaka Korea Selatan itu mengumumkan berehat seketika daripada arena muzik.
BACA: Video muzik 'Boy With Luv' BTS cecah 500 juta tontonan!
#Big Hit Entertainment #BTS #cuti panjang #K-pop #umum berehat panjang
;