BTS terus dikecam media antarabangsa, kemarahan ARMY makin membara
Isabelle Leong
Januari 15, 2020 08:20 MYT
Januari 15, 2020 08:20 MYT
SIAPA yang tidak kenal BTS?
Biarpun bukan peminat, tentunya rata-rata warga dunia tahu akan kewujudan fenomena kumpulan K-Pop dari Korea Selatan yang menjadi antara ‘boy band’ paling berpengaruh di dunia.
Tahukah anda, pada tahun 2017, sekitar 800,000 pelancong dipercayai telah memilih Korea Selatan sebagai destinasi mereka kerana BTS?
Menurut Institut Penyelidikan Hyundai, BTS yang juga dikenali sebagai "Bangtan Sonyeondan" dijadikan sebagai aset ekonomi yang bernilai.
BTS dijangka menjana nilai ekonomi 41.8 trilion won (kira-kira RM202 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang jika mereka mengekalkan populariti mereka.
Namun, ada juga yang ibarat katak di bawah tempurung dan mengejek kumpulan yang dianggotai oleh tujuh jejaka iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V, dan Jungkook.
Wartawan dan personaliti televisyen AS kecam persembahan BTS
Pada sambutan malam ambang tahun baharu Dick Clark’s New Year’s Rockin’ Eve, septet tersebut tampil untuk mendendangkan lagu hit mereka “Make It Right” dan “Boy With Luv”.
Pastinya para peminat BTS, yang dikenali dengan julukan ARMY, membanjiri Times Square, New York bagi bertemu dan menyaksikan persembahan ‘oppa’ kegemaran mereka.
Bagaimanapun, pengacara New Year’s Eve Live untuk CNN, Anderson Cooper dan Andy Cohen mengecam persembahan BTS dengan mengatakan bahawa ia merupakan persembahan yang kurang bersemangat.
Cooper pula akui beliau tidak mengenali kumpulan BTS apabila ketujuh-tujuh artis K-pop tersebut masih membuat persembahan.
Cohen: Kami rasa persembahan mereka ini tidak bersemangat.
Cooper: Saya rasa mereka kelihatan menawan.
(Kedua-dua mereka tertawa)
Cohen: Oh, kamu tidak berkata demikian pada waktu rehat tadi.
Cooper: Saya tidak pernah dengar pasal mereka, saya sudah tua.
Cohen: Baiklah, kami rasa persembahan mereka kurang bersemangat.
Ia tentunya membangkitkan kemarahan dalam kalangan ARMY.
Kalangan ARMY menerusi laman Twitter mengecam tindakan Cooper yang disifat amat memalukan kerana seharusnya sebagai pengamal media perlu ambil tahu tentang hal ehwal semasa.
Ada juga yang menyifatkan kritikan kedua-dua pengacara CNN itu sebagai rasis.
Memetik laporan Forbes, EP BTS pada 2019, "Map of the Soul: Persona" merupakan album nombor satu di Korea Selatan.
Album tersebut juga merupakan album pertama yang menjual 4 juta salinan di seluruh dunia, menjadikan BTS sebagai artis pertama yang mencapainya pada tahun 2019.
Jadi, ia merupakan sesuatu yang pelik apabila Cooper berkata beliau tidak pernah dengar tentang BTS.
Pengacara AS dakwa Jimin produk 'rekaan'
Sementara itu, pengacara popular Amerika Syarikat, Dr Phil yang menyifatkan penyanyi utama BTS, Jimin sebagai produk “rekaan” (manufactured) dan mempunyai imej untuk dipasarkan (marketed) juga menerima kecaman daripada BTS ARMY.
Dr Phil atau nama sebenarnya, Dr Phillip McGraw berkata demikian kepada tetamu rancangannya, Oli London baru-baru ini.
London yang berasal dari United Kingdom, merupakan peminat yang obses dengan Jimin sejak 2013.
London sanggup membelanjakan US$150,00 (kira-kira RM612,000) untuk menjalani 15 prosedur pembedahan plastik agar tampil kelihatan seperti idola kegemarannya itu.
Baru-baru ini, warga British itu juga telah “berkahwin” dengan kadbod berbentuk Jimin di Las Vegas.
Dr Phil menasihati London supaya terima dirinya seadanya dan tidak menjadi replika orang lain.
“Apa yang buruk sangat tentang diri kamu sehingga kamu ingin jadi orang lain?
“Kamu perlu tahu bahawa orang yang kamu ingin jadi (Jimin) bukan seperti apa yang kamu bayangkan.
“Ia merupakan imej yang direka dan untuk dipasarkan,” katanya.
Biarpun tindakan London yang ekstrem itu tidak dipersetujui oleh ARMY, namun komen Dr Phil membuatkan kemarahan ARMY membara.
Ini kerana Dr Phil menganggap Jimin sebagai individu yang palsu dan melihat industri K-Pop sebagai sesuatu yang negatif.
Nyata, rata-rata peminat kumpulan popular Korea Selatan itu bersatu hati menyokong BTS serta tidak akan membiarkan artis kegemaran mereka diejek dan dikecam.
Namun, persoalan yang timbul, kenapa BTS tidak dihormati dan diiktiraf sebagai artis sebenar? Sampai bilakah penampilan BTS akan terus diambil enteng oleh media antarabangsa khususnya media barat?
#Anderson Cooper
#Andy Cohen
#Bangtan Sonyeondan
#BTS
#BTS ARMY
#CNN
#Dr Phil
#K-pop
#kecam
#Korea Selatan
#Map of the Soul Persona
#Times Square