BTS rakam ucapan Tahun Baharu Cina buat 'Army'

Hilmi Malik
Februari 1, 2022 19:55 MYT
BTS akui keadaan COVID-19 sememangnya telah banyak memisahkan pihak mereka bersama peminat dan mengharapkan perubahan berlaku pada tahun 2022. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR : Kumpulan K-Pop terkemuka dunia, BTS tidak ketinggalan untuk turut mengambil peluang mengirimkan ucapan Tahun Baharu Cina buat seluruh peminatnya yang digelar sebagai ‘Army’.
BTS yang dibarisi tujuh anak muda itu menyampaikan ucapan tersebut menerusi sepucuk surat yang dimuat naik menerusi aplikasi media sosial yang dikenali sebagai ‘Weverse’.
Menurut RM yang merupakan penyanyi rap dalam ahli kumpulan tersebut, apa yang diharapkan ialah agar kesemua peminatnya menyambut perayaan ini dalam keadaan yang baik selain turut menyatakan kerinduan terhadapnya neneknya di kampung.
“Semoga tahun ini mendatangkan keberkatan dan kesihatan yang baik buat semua. Saya berhasrat untuk melawat nenek di kampung setelah sekian lama tidak berjumpa,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Sementara itu, bagi Suga yang juga terkenal dengan nyanyian rapnya, mengakui situasi pandemik yang panjang telah memisahkan dirinya bersama peminat.
“Akibat daripada pandemik, kita sudah lama tidak berjumpa bersama peminat. Moga tahun baharu ini membuka ruang untuk kita kembali bertemu,” ujarnya.
Sebahagian besar ahli kumpulan BTS yang juga terdiri daripada V, Jungkook, Jin, Jimin, dan juga J-Hope rata-rata mendoakan kesejahteraan peminatnya dalam menyambut perayaan tersebut.
Situasi COVID-19 yang masih belum berakhir sememangnya memberi kesan terhadap ahli kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena itu.
Tiada apa yang diharapkan mereka selain mendoakan kesihatan yang baik buat seluruh peminatnya dan memperoleh kebahagiaan ketika menyambut sambutan tahun baharu.
BTS merupakan antara kumpulan K-Pop popular yang mendapat perhatian anak muda khususnya pernah mencetus satu lagi fenomena pada tahun lalu menerusi pelancaran single kedua berjudul ‘Butter’.
Single kedua tersebut turut berjaya memecah rekod video muzik "Dynamite" apabila berjaya mencecah lebih 112 juta tontonan dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan di Malaysia.
#COVID-19 #BTS #Tahun Baharu Cina #K-pop #ARMY #Weverse
;