BTS mahu berehat? Tidak, hanya mahu fokus projek solo masing-masing

Agensi
Jun 15, 2022 14:49 MYT
Pengumuman itu dibuat di hadapan peminat semasa program makan malam di televisyen yang meraikan ulang tahun penubuhan kumpulan tersebut. - Gambar fail
KUMPULAN K-pop popular dari Korea Selatan, BTS membuat Army (peminat tegar) kalut seketika apabila dalam satu sesi makan malam pada Selasa memberitahu bahawa kumpulan yang dianggotai oleh tujuh jejaka itu sedang membincangkan hala tuju masa depan mereka.
Ahli kumpulan, Jimin berkata, kumpulan itu telah melalui perjalanan yang agak sukar sebelum ini dan kini, mereka merancang meneruskan projek solo masing-masing.
“Kami cuba mencari identiti kami dan itu adalah proses yang meletihkan dan panjang,” katanya seperti dilaporkan BBC.com.
Rakaman perbualan mereka, yang berlangsung lebih dari satu jam, telah dimuat naik ke saluran YouTube rasmi mereka dan menimbulkan tanda-tanya sama ada BTS yang dianggotai oleh Jin, Jimin, V, RM, Suga, J-Hope dan Jungkook itu akan 'berpecah' dan membawa haluan masing-masing.
Terjemahan bahasa Inggeris menunjukkan seorang ahli menyifatkan rehat itu sebagai "hiatus" - tetapi jurucakap pengurusan kumpulan itu pantas menenangkan semua pihak dengan tampil bersama kenyataan rasmi.
"BTS tidak berehat tetapi akan mengambil masa untuk meneroka beberapa projek solo pada masa ini.
“Mereka akan kekal aktif dalam pelbagai format yang berbeza," kata Hybe, syarikat hiburan yang menguruskan BTS.
Tenang-tenang sahaja ya Army!
#BTS #Jimin #Kpop #Jungkook
;