BTS jadi subjek peperiksaan, pelajar Korea tidak puas hati

Asyraf Roslan
Januari 15, 2019 18:52 MYT
BTS yang muncul sebagai topik lukisan bagi sebuah peperiksaan di Seoul,Korea telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar- Gambar fail
KUMPULAN K-Pop sensasi, BTS yang dijadikan sebagai satu topik lukisan bagi sebuah peperiksaan di Seoul,Korea telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar.
Ujian lukisan Seni dan Reka Bentuk 2019 di Universiti Ceramics & Fiber Arts di Universiti Wanita Seoul telah mengeluarkan soalan meminta mereka melukis sesuatu berdasarkan imej kumpulan K-Pop yang popular dengan lagu Idol itu dengan nota sampingan menjelaskan bahawa BTS adalah penyanyi.
Ramai yang tidak berpuas hati kerana ia tidak adil bagi sesiapa yang tidak mengenali kumpulan tersebut, dalam sektor pendidikan Korea yang sangat berdaya saing, sesetengah pelajar sanggup tidak menonton televisyen dan bermain internet kerana ingin menumpukkan perhatian mereka dalam pelajaran bagi mempersiapkan diri untuk peperiksaan.
Namun, menurut laporan media antarabangsa, ada pengguna media sosial mempertahankan keputusan universiti dengan mengatakan bahawa sesiapa yang mengambil peperiksaan tersebut tidak perlu tahu siapa BTS .
Mereka mendakwa tujuan peperiksaan itu tidak menggambarkan imej realistik akta K-Pop, tetapi menterjemahkan dalam bentuk kreativiti berkaitan topik itu.
Ini bukan kali pertama soalan sebegini dikeluarkan mengenai kumpulan sensasi ini, sebaliknya, nama BTS telah muncul dalam banyak peperiksaan tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan, termasuk penulisan esei Seoul National University pada tahun 2018 dan peperiksaan pengambilan terbuka KBS.
#ARMY #BTS #idol #Korea #Kpop #media sosial
;