BTS jadi kumpulan Korea Selatan pertama duduki tangga teratas carta Billboard
Isabelle Leong
September 1, 2020 13:43 MYT
September 1, 2020 13:43 MYT
REKOD demi rekod dipecah!
Kumpulan K-Pop terkemuka, BTS sekali lagi memecah rekod dunia dengan menjadi kumpulan Korea Selatan pertama yang menduduki tangga teratas carta single Amerika Syarikat (AS).
Billboard menerusia satu ciapan di laman Twitter pada Selasa, kumpulan sensasi Korea Selatan berkenaan merangkul tempat pertama dalam carta Billboard Hot 100 dengan lagu hit terbaharu mereka ‘Dynamite’.
Terdahulu, BTS menewaskan penyanyi terkenal AS termasuk Ariana Grande, Lady Gaga dan Taylor Swift untuk dalam kategori anugerah pop terbaik pada Anugerah Video Muzik MTV (VMA) 2020 pada Ahad lalu.
Dengan kejayaan yang dicapai melalui lagu ‘Dynamite’ di carta Billboard, ia sekali gus mengukuhkan lagi dominasi septet berkenaan di peringkat global.
Dynamite' merupakan lagu single bahasa Inggeris pertama bintang-bintang K-Pop tersebut.
Memetik laporan The Guardian, trek disco-pop berkenaan telah mencatatkan 33.9 juta penstriman di AS hanya dalam masa seminggu dan 300,000 unit terjual.
Bagi mendapatkan tangga nombor satu, ‘Dynamite’ mengalahkan lagu Cardi B dan Megan Thee Stallian iaitu ‘WAP’ yang menduduki tempat pertama untuk dua minggu.
Untuk rekod, carta single Billboard Hot 100 menggabungkan penstriman AS, tayangan radio dan data penjualan.
Sebelum ini, BTS pernah menduduki tempat keempat dalam carta Billboard Hot 100 pada Mac lalu dengan lagu ‘On’.
Artis solo Korea Selatan, PSY meraih tangga kedua dalam carta yang sama pada 2012 dengan lagu viral ‘Gangnam Style’.
#billboard
#Billboard Hot 100
#BTS
#BTS1onHot100
#Cardi B
#Dynamite
#Korea Selatan
#Megan Thee Stallian
#PSY