BTS buat 'hal' lagi ...

Agensi
Mac 7, 2021 15:05 MYT
Ahli BTS membuat persembahan dalam 'Good Morning America' terbitan saluran ABC di Central Park, New York tidak lama dahulu. - Foto REUTERS/Brendan McDerm
BTS buat hal lagi?
Kumpulan K-pop popular ini berjaya memenangi Anugerah Artis Rakaman Global IFPI bagi tahun 2020 (2020's Global Recording Artist of the Year Award) selepas menewaskan nama-nama besar termasuk Taylor Swift, Drake, The Weeknd, Billie Ellish, Ariana Grande dan Justin Bieber.
Ini menjadikan BTS artis pertama Asia memenangi anugerah pada edisi tahun 2020 ini.
BTS juga merupakan artis pertama yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama memenangi anugerah terbabit.
Pada edisi sebelumnya, anugerah sering didominasi artis Barat antaranya Taylor Swift, Drake, One Direction, Adele dan Ed Sheeran.
Tahun lalu, BTS hanya berjaya menduduki tangga ketujuh, manakala pada 2019 kumpulan itu hampir merekodkan kemenangan apabila berjaya berada di kedudukan nombor dua.
Album Map of the Soul: 7 disahkan IFPI sebagai album paling banyak menerima pra-tempahan sepanjang zaman.
BTS yang dianggotai V, J-Hope, RM, Jin, Suga, Jimin dan Jungkook turut melakar sejarah apabila lagu Dynamite menjadi lagu Korea Selatan pertama mencapai kedudukan nombor satu dalam carta Billboard Hot 100.
Ia turut dicalonkan di Grammy Awards dalam kategori Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik.
IFPI adalah organisasi bukan keuntungan yang mewakili industri muzik rakaman di seluruh dunia. Anugerah Artis Rakaman Terbaik anjurannya mengiktiraf artis daripada segi populariti muzik digital dan album fizikal, serta keseluruhan pencapaian kerjaya mereka.
#BTS #Korea #Taylor Swift #Justin Bieber #Korea Selatan #Adele #2020 IFP Global Recording Artist of the Year Award #Ed Sheeran
;