BTS bakal muncul di Anugerah Grammy
Astro Awani
Februari 5, 2019 13:08 MYT
Februari 5, 2019 13:08 MYT
KUMPULAN popular dari Korea yang mencetus fenomena di seluruh dunia, BTS dilaporkan bakal menghadiri anugerah berprestij, Anugerah Grammy 2019 pada 10 Februari ini.
Media hiburan antarabangsa melaporkan, anggota kumpulan itu, Suga, J-Hope, RM, Jin, Jimin, V dan Jungkook akan menyampaikan anugerah bagi salah satu kategori yang dipertandingkan.
Ini merupakan kemunculan pertama kali BTS sekali gus membuktikan kehadiran mereka di persada muzik antarabangsa diterima tanpa sebarang prejudis.
Album BTS, Love Yourself: Tear yang dipasarkan pada Mei lalu turut dicalonkan dalam Anugerah Grammy bagi kategori Kulit Album Terbaik.
Sebelum ini, carta muzik antarabangsa Billboard 200 turut menyenaraikan album berkenaan dan berada di kedudukan yang membanggakan.
BTS juga pernah menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York pada 24 September tahun lalu.
Seorang daripada anggota BTS, Suga pernah menyuarakan keinginan BTS untuk menghadiri Anugerah Grammy ketika band berkenana menjayakan program bual bicara The Tonight Show Starring Jimmy Fallon tidak lama dulu
Anugerah Grammy ke-61 yang bakal dihoskan oleh penyanyi terkenal, Alicia Keys akan disiarkan secara langsung dari Staples Center, Los Angeles.
Artis-artis terkenal seperti Camila Cabello, Cardi B, Janelle Monáe, Miley Cyrus, H.E.R., Brandi Carlile, Shawn Mendes serta Red Hot Chili Peppers bakal mengadakan persembahan.
Legenda seni Hollywood, Diana Ross juga dilaporkan akan muncul dalam sebuah segmen istimewa pada malam berkenaan.
Pada 2012, Ross, 75, pernah menerima Anugerah Sepanjang Hayat daripada penganjur Anugera Grammy sebagai menghargai sumbangan besar penyanyi veteran itu dalam industri muzik Hollywood.
Seniwati yang masyhur dengan lagu When You Telle Me That You Love Me itu pernah mencipta fenomena dalam sejarah industri muzik dunia sepanjang enam dekad bergelar anak seni.