BTS ARMY kecewa, laman web GSC 'down' sekali lagi
Afiq Ariffin
Oktober 24, 2018 16:25 MYT
Oktober 24, 2018 16:25 MYT
LAMAN web Golden Screen Cinemas (GSC) ‘down’ sekali lagi!
Ia berpunca daripada peminat tegar kumpulan K-pop, BTS yang 'berpusu-pusu' membeli tiket dalam talian untuk menonton dokumentari sulung kumpulan popular dari Korea Selatan itu.
Sebelum ini, insiden sama pada Isnin telah memaksa pihak GSC menambah dewan tayangan bagi filem "Burn The Stage: The Movie" yang dijadual ditayangkan pada 15 November ini.
Menerusi muat naik di laman Twitter, admin GSC mengumumkan penambahan dewan tayangan di 16 lokasi terpilih manakala tiket akan mula dijual semula pada Selasa malam.
“ARMYs!! (nama fandom BTS) Kami telah menambah dewan tayangan di lokasi terpilih dan tiket akan mula dijual pada jam 8:45 malam hingga jam 9:15 malam, hari ini!” kata adminnya.
Namun, seperti yang dijangka laman sesawang panggung itu sekali lagi ‘down’ dan pembelian hanya boleh dibuat melalui aplikasi panggung berkenaan.
Ramai peminat tegar kumpulan itu meluahkan rasa kecewa di Twitter kerana masih tidak dapat membeli tiket filem berkenaan walaupun penambahan dewan tayangan telah dibuat.
Sementara itu, pihak GSC juga memberi nasihat kepada pelanggannya agar tidak membeli tiket dari ‘scalpers’ atau ‘ulat tiket’ yang menjual tiket dengan harga yang tinggi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
GSC merupakan satu-satunya panggung wayang di Malaysia yang mempunyai hak untuk menayangkan dokumentari tersebut.
Dokumentari tersebut bakal menemui penonton bermula 15 November depan.