Bruce Willis nafi jual wajahnya untuk digunakan dalam teknologi 'deepfake'

Astro Awani
Oktober 3, 2022 09:00 MYT
Jurucakap pelakon itu memberitahu BBC bahawa "tiada perkongsian atau perjanjian" dibuat dengan syarikat itu. - Foto fail/REUTERS
JURUCAKAP pelakon Bruce Willis menafikan laporan bahawa bintang filem itu telah menjual hak wajahnya.
Minggu lalu, media antarabangsa melaporkan Willis, dalam perjanjian pertama seumpamanya, telah menjual wajahnya kepada syarikat deepfake bernama Deepcake.
Bagaimanapun, jurucakap pelakon itu memberitahu BBC bahawa "tiada perkongsian atau perjanjian" dibuat dengan syarikat itu.
Willis mengumumkan persaraannya dari bidang lakonan pada Mac lalu selepas disahkan menghidap afasia, gangguan yang menjejaskan pertuturan.
Deepfake menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pembelajaran mesin untuk mencipta video realistik, yang kebiasaannya melibatkan selebriti atau ahli politik.
Bagi pelakon yang tidak lagi berlakon, teknologi ini berpotensi untuk mengubah situasi.
Pada 27 September, portal Daily Mail melaporkan bahawa perjanjian telah dicapai antara Willis dan Deepcake.
"Pemenang dua trofi Emmy, Bruce Willis masih boleh muncul dalam filem selepas menjual hak imejnya kepada Deepcake," laporan itu menyebut.
#Bruce Willis #pelakon #deepfake #wajah
;