Bront Palarae lancar kempen kumpul dana biaya 'Dawn Raid'

Azyyati Ahmad
Jun 19, 2018 18:55 MYT
Filem berkisarkan bagaimana Malaysia dapat membeli saham Guthrie Consolidated pada tahun 1981 yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Studio produksi, Pixel Play milik pelakon Bront Palarae melancarkan kempen bagi mengumpul RM2 juta bagi membiayai sebuah filem kisah benar negara, 'Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen'.
Bront yang juga merupakan pengarah filem ini berkata, usaha ini dilakukan sebagai inisiatif lain mencari dana bagi filem berkenaan.
“Kami telah memohon dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tetapi keputusannya belum keluar.
“Kempen mencari dana ini di Pitchin ini adalah satu inisiatif alternatif yang kita cuba usahakan. Mampu capai atau tidak, itu di luar kawalan kami,” jelas Bront yang ketika ini berada di Shanghai ketika dihubungi Astro AWANI.
Kempen ini diadakan dalam masa sebulan iaitu bermula pada 18 Jun dan akan berakhir sehingga 31 Julai.
“Hal ini kerana kita gunakan Ogos untuk urusan logistik, manakala kerja-kerja pra-produksi akan bermula pada 1 September ini,” tambahnya.
Setakat ini, dana yang terkumpul adalah RM1,900 dan Pixel Play berharap agar ia dapat mencapai jumlah yang dikehendaki dalam masa 42 hari.
Bagi membantu anda boleh melayari www.reward.pitchin.my/projects/dawn-raid-the-hands-that-rattled-the-queen.
'Dawn Raid' adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 7 September 1981 tentang bagaimana Malaysia dapat membeli saham Guthrie Consolidated.
Filem yang berlatar belakangkan tahun 1981 itu menceritakan pemilik ladang Guthrie Group pada asalnya sebuah syarikat perdagangan British telah berjaya dikuasai oleh Malaysia selepas kerajaan melakukan satu ‘serangan' di London Stock Exchange.
Pembelian saham milik Guthrie Consolidated ini dikenali sebagai 'Serangan Subuh' membuktikan kepintaran orang Malaysia dalam membeli aset milik negara luar.
Serangan ini adalah usaha dari Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad , Bekas Gabenor Bank Negara Ismail Ali dan bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.
Bront bakal membawa watak Khalid Ibrahim dan filem berbahasa Inggeris ini turut diterajui oleh Shaheizy Sam, Sofia Jane, Iedil Putra dan Tuan Faisal.
#Bront Palarae #Dawn Raid #Iedil Putra #Khalid Ibrahim #Mahathir Mohamad #Shaheizy Sam #Sofia Jane #Tuan Faisal #Tun Dr Mahathir Mohamad
;