Britney Spears beri amaran, enggan muncul di pentas selagi bapanya 'berkuasa'

Astro Awani
Julai 19, 2021 08:31 MYT
Bapa Spears, Jamie diberi hak sepenuhnya untuk mengawal peribadi, harta dan aset anak keduanya yang berjumlah hampir AS$ 60 juta. - Foto AP
LOS ANGELES: Penyanyi terkenal, Britney Spears memberi amaran enggan membuat persembahan di pentas selagi bapanya masih diberi kuasa untuk mengawal kerjaya dan kehidupannya.
"Bagi anda yang mengkritik video tarian yang saya muat naik di sini (Instagram), dengar. Saya tidak akan tampil di pentas selagi bapa saya mengawal apa yang saya pakai, cakap, bertindak dan berfikir," katanya dalam catatan panjang lebar di Instagram.
"Konservatori ini membunuh impian saya. Yang saya ada kini cuma harapan tetapi itu pun ada yang mahu rampas daripada saya.
"Banyak dokumentari menyiarkan detik-detik memalukan dari masa lalu, sedangkan saya sudah melupakannya," tulisnya.
Bapa Spears, Jamie diberi hak sepenuhnya untuk mengawal peribadi, harta dan aset anak keduanya yang berjumlah hampir AS$60 juta, sejak kira-kira 13 tahun lalu.
Ia susulan penyanyi 'Baby, One More Time' itu dikatakan mengalami masalah mental.
Awal Julai lalu, Spears memberitahu hakim dalam perbicaraan kes di Los Angeles yang dia sangat takut dengan ayahnya, selain menyifatkan konservatori itu sebagai satu penganiayaan.
Spears juga mendapat hak untuk mengupah peguamnya sendiri dan Pendakwa Raya Persekutuan, Mathew Rosengart dilantik mewakilinya.
Awal tahun ini, sebuah dokumentari mengenai Spears, berjudul 'Framing Britney Spears', dicalonkan untuk dua anugerah Emmy, sekaligus membuka cerita yang selama ini tidak diketahui ramai.
Peminat dan selebriti mula bercakap mengenai konservatori Britney di media sosial menggunakan hashtag #FreeBritney.
Perbicaraan bakal bersambung pada 29 September depan di Los Angeles.
#britney spears #penyanyi #mahkamah #persembahan #pentas #media sosial #Los Angeles
;