Brian McKnight buktikan masih hebat di pentas

Azyyati Ahmad
Mei 10, 2014 15:39 MYT
Brian McKnight mendendangkan 14 lagu hits dalam konsertnya malam tadi
Brian McKnight masih menyengat...
Itulah antara kata-kata penonton yang hadir ke konsert bintang R&B Amerika, Brian McKnight malam tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Seramai 2000 penonton hadir menyaksikan konsert yang berlangsung selama dua jam itu.
Walaupun, kali pertama McKnight mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 2000, namun penyanyi yang telah menghasilkan 15 album ini, kelihatan tidak kekok ketika menghiburkan penontonnya malam tadi.
Rata-rata yang hadir cukup terhibur dan memuji alunan suaranya yang cukup mempersonakan.
Salah seorang penonton, Azean Ishak, 30 berkata, dia sangat mengagumi penyanyi kelahiran New York yang berbakat besar ini.
“Saya sangat mengagumi beliau sebagai seorang penyanyi, pencipta dan pengubah lagu. Bagaimana kita dengar di dalam album begitulah nyanyiannya di atas pentas tadi” kata Azean.
Menurut Anita Woo, 30 pula, McKnight dilihat sebagai penghibur yang sangat dekat dengan hati wanita.
“Brian sangat hebat, anda boleh lihat semua golongan wanita sukakan beliau. Dia adalah penghibur sebenar” katanya.
McKnight yang telah meraih pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah American Music, Anugerah Soul Train dan Komposer Terbaik di Anugerah Billboard, dilihat sangat bersahaja dengan jenakanya ketika berinteraksi dengan penonton.
Dalam konsertnya malam tadi, McKnight telah mendendangkan sebanyak 14 lagu popularnya seperti Love Of My Life, One Last Cry, Still dan Back At One yang menjadi lagu yang paling mendapat tepukan gemuruh penonton.
Dalam perkembangan lain, McKnight turut mengumumkan mengenai sebuah laman portal yang membolehkan peminat mendapatkan lagu-lagu ciptaannya dengan lebih pantas.
Laman portal, McKnight360.com bertujuan memudahkan hasil karyanya didengari dan dimuat turun sebaik sahaja ia disempurnakan.
Menurut penyanyi berusia 44 tahun ini, setiap lagu yang dihasilkan seseorang penyanyi kebiasaannya akan menjadi hak milik syarikat rakaman.
Melalui portal ini, McKnight bebas berkarya tanpa terikat dengan syarat atau kehendak mana-mana syarikat.
Selain itu, penerbit dan penulis lagu ini juga menyangkal dakwaan yang mengatakan muzik R&B kian pudar di persada seni.
McKnight menjelaskan, jenis muzik tidak seharusnya dijadikan ukuran sebaliknya ia perlu dinikmati tanpa prejudis.
Konsert More Than Words – An Intimate Evening With Brian McKnight yang berlangsung di PWTC malam tadi ini telah dibawakan oleh JAG Konsert And Events.
#Brian McKnight #Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
;