Brad Pitt didakwa sudah lama dera Angelina Jolie
Gempak
April 6, 2024 13:17 MYT
April 6, 2024 13:17 MYT
PASANGAN pesohor Angelina Jolie dan Brad Pitt memang sudah lama bercerai namun sehingga ke hari ini perseteruan masih berjalan di mahkamah.
Terkini, Jolie menerusi peguamnya mendakwa Pitt sudah lama melakukan penderaan terhadap aktres tersebut sebelum perbuatan itu terdedah.
Jolie sebelum ini mendakwa telah dikasari oleh bekas suaminya sewaktu berada di dalam pesawat semasa mereka dalam perjalanan dari Perancis ke Los Angeles pada 2016.
“Meski perbuatan Pitt mendera Jolie hanya didedahkan dalam insiden pada tahun 2016, sebenarnya dia (Pitt) telah melakukan penderaan terhadapnya sudah lama.
“Cuma Pitt pertama kali melakukan kekerasan terhadap anak mereka menerusi insiden di dalam pesawat. Sejak itu Jolie meninggalkan Pitt,” ujar peguam aktres tersebut seperti dilaporkan People.
Aktor tersebut bagaimanapun tidak pernah berdepan hukuman atas dakwaan penderaan dan melakukan kekerasan di dalam pesawat seperti yang didedahkan.
Pitt, 60, dan Jolie, 48, belum dapat menyelesaikan perseteruan mereka selepas tidak mencapai persetujuan menjual ladang anggur sekali gus membahagikan saham di antara keduanya.
Mereka bagaimanapun disahkan bercerai pada tahun 2019. Keduanya berkongsi enam anak iaitu Maddox, 22, Pax, 20, Zahara, 19, Shiloh, 17, serta kembar berusia 15 tahun Vivienne dan Knox.
*Artikel asal yang disiarkan di Gempak