Bosan diaju soalan 'mengapa Jack mati', pengarah Titanic akhirnya beri jawapan
Madiha Abdullah
November 30, 2017 08:21 MYT
November 30, 2017 08:21 MYT
PENGARAH filem Titanic, James Cameron, berpendapat perdebatan peminat tentang mengapa watak Jack Dawson mati di penghujung cerita, adalah "sangat bodoh".
20 tahun selepas tayangannya, masih ramai peminat filem itu mempersoalkan mengapa watak Jack tidak naik bersama Rose ke atas pintu kayu terapung, yang akhirnya membawa kepada kematian.
Ramai peminat berpendapat pintu itu cukup besar dan berat untuk menampung berat kedua-dua mereka.
Dalam temubual terbaharu bersama majalah Vanity Fair, Cameron memberikan jawapan mengapa watak lakonan Leonardo Dicaprio itu tidak diselamatkan untuk hidup bahagia bersama Rose.
"Jawapannya sangat mudah. Jack mati kerana dalam muka surat 147 skrip filem itu, jelas menyatakan Jack mati," kata Cameron.
Tambah Cameron, plot filem berkenaan sengaja dibuat sedemikian dan ia merupakan satu 'pilihan artistik' yang memberi makna kepada keseluruhan jalan cerita.
"Apabila berkarya, adakalanya nilai artistik lebih perlu ditekankan, melebihi aspek fizik.
"Apa yang cuba disampaikan dalam Titanic adalah kekuatan cinta Jack dan Rose, serta bagaimana kematian Jack dan perpisahan itu tidak mematikan cinta dan ingatan Rose terhadap Jack.
"Jika Jack hidup, mesejnya tidak sampai dan Titanic tentu tidak akan menjadi filem seperti yang dikenang hari ini," jelas Cameron.