Borneo Music Festival kembali dengan kehadiran DJ Soda
Azizah Alwi
September 10, 2022 10:30 MYT
September 10, 2022 10:30 MYT
KUCHING: Lebih 5,000 pengunjung dari serata pelusuk dunia membanjiri dataran utama Festival Muzik Borneo (BMF) 2022 di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini pada Jumaat.
Festival bergenre Tarian Muzik Elektronik (EDM) itu buat pertama kali menampilkan artis antarabangsa daripada Korea Selatan, DJ Soda atau nama sebenarnya Hwang So-Hee.
Kehadiran artis wanita dengan lebih 4.5 juta pengikut di media sosial itu berjaya mencuri tumpuan melalui kehebatan dan kepakarannya mencampurkan semula runut bunyi lagu asal kepada irama EDM yang begitu rancak.
Persembahan kemuncak oleh DJ Soda untuk malam pertama BMF 2022 itu menampilkan beberapa muzik dari kumpulan Cranbarries-Zombie, David Guetta-Titanium dan lagu terbaharu dari kumpulan Blackpink iaitu Pink Venom.
Festival yang berlangsung selama dua hari bermula 9 hingga 10 September 2022 itu menjanjikan pengalaman terbaik buat peminat muzik bergenre EDM yang menjadi kegilaan generasi muda masa kini.
Selain DJ Soda, seorang lagi artis antarabangsa, DJ Alan Walker bakal membuat persembahan pada malam penutupan BMF 2022.
Artis kelahiran Norway berusia 25 tahun itu dijangka akan menggegarkan pentas BMF dengan karya terunggulnya Faded yang telah menerima anugerah Platinum di 14 buah negara dan mendapat lebih 3 bilion tontonan di YouTube.
Bagi salah seorang penonton, Shahrul Qaizat, 25, itu merupakan kali pertama beliau mengunjungi BMF dan peminat tegar DJ Alan Walker sejak 2012.
“Saya mula mendengar lagu Alan Walker bermula 2012 dan Alone Part 2 menjadi pilihan utama saya berikutan saya merupakan seorang peminat games dan lagu Alone digunakan sebagai salah satu background song dalam PUBG,” ujarnya.
Selain itu Viviana Lin Winston, 22, dan rakannya Julie Minele, 23, juga teruja dan begitu gembira dengan penganjuran festival yang dianggap paling meriah pernah dianjurkan di negeri itu tahun ini.
“Saya berasa cukup gembira melihat suasana seperti ini. Selepas dua tahun tiada sebarang acara akibat pandemik sudah tentu festival seperti ini membangkitkan kembali semangat dan sudah mula nampak kita kembali kepada kehidupan normal,”
“Kami amat meminati Alan Walker kerana susunan muzik dan lagu-lagunya yang banyak memberi impak dalam kehidupan kami sekaligus menaikkan semangat golongan muda,” katanya.
Persembahan bermula sejak jam 5 petang sehingga 10.30 malam itu turut melibatkan lebih 15 artis serta kumpulan pemuzik tempatan dan antarabangsa antaranya Buloh Berkocak dan Tuku Kame.
BMF 2022 secara eksklusif menghimpunkan artis dari enam negara yang dibawakan khas oleh Amazing Aurora Entertainment serta dianjurkan Firmament Event Studio dengan kerjasama More Entertainment.