'Borat' tawar diri bayar denda 6 pelancong 'bogel' di Kazakhstan

Agensi
November 22, 2017 18:24 MYT
Sacha Baron Cohen menerusi laman Facebooknya meminta pelancong warga Czechoslovakia tersebut menghubunginya untuk urusan pembayaran denda berkenaan. -Gambar Reuters
APABILA enam pelancong ditahan kerana menyerupai watak 'Borat' di Kazakhstan, pelakon yang memegang watak tersebut pantas menawarkan diri untuk membayar denda yang dikenakan.
Pelakon komedi dan pelawak terkenal, Sacha Baron Cohen menerusi laman Facebooknya meminta pelancong warga Czechoslovakia tersebut menghubunginya untuk urusan tersebut.
"Kepada saudara warga Czech yang ditangkap, hantar butiran diri anda dengan bukti dan saya akan membayar denda tersebut," kata Cohen.
Enam pelancong warganegara Czechoslovakia berkenaan didenda AS$67 setiap seorang kerana didakwa berpakaian separuh bogel di sebuah pantai di negara itu pada 14 November, lapor media tempatan.
Menurut portal BBC, pelancong berkenaan ditahan kerana memakai spandeks dan mengenakan rambut afro yang diinspirasi daripada filem "Borat: Cultural Learnings of America for Make Benefit Glorious Nation of Kazakhstan" lakonan Cohen.
Dalam satu babak daripada filem tersebut, Cohen yang memegang watak pengulas televisyen dari Kazakhstan bernama "Borat" dipapar memakai spandeks berwarna hijau, sama seperti yang dipakai pelancong berkenaan.
Filem itu memperoleh kutipan sebanyak AS$261 juta.
#Czech #didenda 67 dolar #pelancong #Sacha Baron Cohen
;