Borak Arts wujud satu rangkaian kerjasama penggiat seni dan korporat
Muzaffar Mustapa
Jun 13, 2013 16:18 MYT
Jun 13, 2013 16:18 MYT
Satu siri pertemuan julung kali antara pengamal seni dan pemimpin korporat tempatan dan antarabangsa, Borak Arts Series bakal berlangsung di Kuala Lumpur hujung minggu ini.
Bertemakan “Building Sustainability in Arts”, pertemuan julung kali ini merupakan satu inisiatif ikonik seni oleh My Performing Arts Agency (MYPAA), dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Borak Arts Series berharap untuk memecahkan tembok seni dengan menampilkan pemimpin utama bidang seni dan sektor korporat termasuk artis, kurator, pengkritik dan pemikir bertaraf antarabangsa, yang akan sama-sama meneroka pelbagai persoalan untuk dirungkaikan.
Persidangan ini akan memberikan tumpuan kepada pemikiran kritis dan pengurusan kreatif seni persembahan dengan matlamat untuk mewujudkan satu rangkaian kerjasama bagi mengangkat martabat industri seni persembahan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Selain daripada penumpuan idea-idea baru, pengetahuan dan pengalaman, Borak Arts Series akan menyediakan platform bagi peserta untuk belajar mengenai pembangunan projek-projek baru dan akan datang, baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa, terus dari pembangun dan penerbit sendiri; membentangkan jalan masuk baru bagi penubuhan hubungan baru serta kerjasama di antara pengamal, orang awam dan sektor swasta.
Dalam pada itu, peserta industri juga akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka berasaskan projek-projek terdahulu, kejayaan dan proses pembelajaran, untuk berkongsi dengan para peserta resipi kejayaan mereka.
Peluang untuk bertemu dan bertukar pandangan mengenai industri seni ini perlu diambil oleh penggiat seni tempatan, pengurus seni, pengarah festival, pengurus acara kreatif, aktivis seni, pemodal teroka, para dermawan dan hartawan, ahli akademik dan pelajar jurusan seni.
Antara panel yang akan membentangkan kertas kerja mereka termasuk Eunhee Kim dari Korea Arts Management Services (KAMS), Collette Brennan (Australia Council for the Arts), Mio Yachita (The Japan Foundation), Datin Sofia Jane (pelakon), Jung Jae-wal (Korea Arts Management Services), Jo Kukathas (The Instant Cafe Theatre Company Malaysia) dan ramai lagi.
Borak Arts Series bakal berlangsung pada 15 dan 16 Jun ini di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, layari laman web rasmi di mypaa.com.my/borak-arts.