My Performing Arts Agency (MyPAA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan mengadakan Borak Arts Series 2014 dengan tema “Membina Pengetahuan Dalam Mendapatkan Dana dan Kualiti Gerak Penggiat Seni”.

Borak Arts Series 2014 yang akan mengumpulkan penggiat seni, artis, ahli perniagaan, penaja dari seluruh dunia akan membincangkan isu-isu pencarian dana untuk pembiayaan seni dan pergerakan pengiat seni.

Pengarah MyPAA Izan Satrina berkata persidangan ini adalah untuk penggiat seni, atau syarikat seni yang bercita-cita untuk membawa karya seni mereka ke peringkat antarabangsa.

“Persidangan ini juga adalah untuk berkongsi cabaran mendapat dana pembiayaan yang dihadapi oleh penggiat seni dari seluruh dunia.

“Jadi Borak Art Series 2014 ini menjadi platform untuk memberi informasi dan perkongsian idea untuk membawa kerja seni mereka ke tahap yang lebih tinggi dan memupuk mobiliti budaya seni,” tambah beliau dalam satu diskusi meja bulat bersama media hari ini di Publika, Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Penerbit Eksekutif Rumah Anak Teater Faisal Mustaffa berkata bidang seni ini tidak mendapat perhatian khusus kerana berkongsi peruntukan dengan sektor pelancongan.

"Kebudayaan ni dia bertukar kementerian banyak kali. Dari kementerian Penerangan, Warisan, dan kembali semula kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

"Memandangkan seni pementasan di negara mendapat cabaran yang hebat dalam mendapatkan peruntukan walaupun selepas pengumuman BAJET 2015, Borak Art Series 2014 adalah satu persidangan yang sesuai untuk berbincang mengenai perkara itu.

Pengarah TerryandTheCuz, Govin Ruben berkata kurang peruntukan diberikan kepada seni kontemporari.

"Kalau kita lihat peruntukan yang kerajaan yang berikan adalah kepada program dari kerajaan sahaja yang bersifat seni tradisional dan saya rasa artis kontemporari seperti saya dipinggirkan.

"Dan saya rasa Borak Art Series nanti dapat membuka mata kepada ramai orang termasuk pihak kerajaan mengenai seni kontemporari" tambah beliau.

Sementera itu dalam meja bulat yang sama, Pengarah MyPAA, Brian Johnson Loew berkata persidangan ini juga akan membuka peluang bagi mereka yang mahu membentuk satu pakatan yang boleh membantu membangunkan ekosistem seni pementasan.

“Kami mengadakan persidangan ini adalah untuk penggiat seni berkomunikasi antara satu sama lain. Contohnya tahun lepas, hasil daripada Borak Art Series 2013 kami mengadakan satu gabungan dengan negara Korea untuk mempergiat industri seni pementasan.

“Kami juga meletakkan Borak Art Series sebagai satu penanda ukur persaingan antara penggiat seni di Malaysia dan di luar negara sebab itu kami membawa penggiat seni dari luar negara contohnya dari Jepun, Singapura, New Zealand, Sweeden dan sebagainya untuk menyertai persidangan ini,” tambah beliau.

Antara pembahas yang akan hadir adalah Pengarah Urusan Asia-Europe Foundation culture360 Valentina Riccardi, Pengasas Five Arts Centre Datin Marion D'Cruz dan Hamdan Abdul Majeed, Pengarah TerryandtheCuz Production, Terence Conrad serta ramai lagi.

Disokong Yayasan Sime Darby, Japan Foundation, Kedutaan Perancis di Malaysia, Culture 360, Kumpulan NSTP, MAPKL Publika dan BOH Plantations, persidangan Borak Art Series akan diadakan pada 22 dan 23 November 2014 dari 9 pagi ke 6 petang di MAP KL, Publika.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket 'Early Bird' di tickethotline.com.my sehingga 4 November 2014 pada harga RM88 untuk pemegang MyKad dan RM138 untuk bukan pemegang MyKad. Harga biasa adalah RM108 untuk pemegang MyKad dan RM188 untuk bukan pemegang MyKad. Setiap tiket termasuk kehadiran dua hari persidangan, makan tengah hari dan minum petang