Boboiboy ke Turki September ini
Bernama
Ogos 3, 2020 04:17 MYT
Ogos 3, 2020 04:17 MYT
Francais animasi superhero Malaysia BoBoiBoy bakal menggegar pawagam di seluruh Turki dengan penayangan dua filem pecah panggung pada penghujung tahun ini.
Dalam satu kenyataan oleh Monsta, studio di belakang tabir BoBoiBoy, bekerjasama dengan pengedar tempatan CJ Entertainment Turkey dan Two Productions untuk membawa BoBoiBoy The Movie pada September, disusuli sekuelnya BoBoiBoy Movie 2.
"Namun Monsta tidak berhenti sekadar di situ, kerana studio tersebut turut dalam perbincangan untuk membawa kesemua 76 episod siri animasi BoBoiBoy dan BoBoiBoy Galaxy ke kaca televisyen di Turki.
"Kesemua filem dan siri animasi tersebut turut dialih bahasa ke dalam Bahasa Turki, supaya penonton dapat mendalami watak superhero kegemaran mereka dengan lebih rapat lagi," menurut kenyataan itu.
Menurut Monsta, francais animasi BoBoiBoy yang semakin popular itu berjaya menembusi pasaran hiburan di lebih 70 negara seperti di Asia Tenggara, India dan MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara), dan Turki menjadi medan baharu bagi francais berkenaan mengembangkan sayap ke negara-negara berhampiran.
Monsta komited dalam menerajui usaha pengeksportan animasi Malaysia berkualiti tinggi serta berharap dengan kedatangan BoBoiBoy di Turki, jutaan penonton baharu dapat menikmati siri animasi yang sarat dengan aksi, komedi dan hiburan untuk seisi keluarga.
-- BERNAMA